Minyak sawit: Tun M bimbang mengenai larangan India

Dr Mahathir ketika sesi dialog semasa hadir pada Forum Integriti Bank Rakyat 2020 hari ini. - Foto: Bernama
Dr Mahathir ketika sesi dialog semasa hadir pada Forum Integriti Bank Rakyat 2020 hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bimbang dengan usaha pihak tertentu yang cuba memastikan Kerajaan India memboikot pembelian minyak kelapa sawit dari Malaysia.

Beliau bagaimanapun menegaskan, meskipun begitu Malaysia perlu bersikap jujur mengenai perkara yang tidak betul dengan India.

Katanya, Malaysia berhak bersuara sekiranya wujud perkara yang tidak kena.

“Memang kita khuatir kerana kita jual banyak minyak kelapa sawit kepada India. Tetapi kita harus bersikap jujur. Jika ada perkara yang tidak kena, kita harus menyuarakannya.

“Jika kita terus membiarkan perkara yang salah berterusan, dan ia mungkin melibatkan wang, saya rasa jika bukan kita yang melakukan kesalahan, ia akan dibuat oleh pihak yang lain,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Integriti Bank Rakyat 2020 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas soalan sama ada kerajaan bimbang terhadap tindakan India menghentikan belian minyak sawit Malaysia susulan kritikan beliau mengenai tindakan India di Kashmir selain undang-undang baharu kewarganegaraan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan cuba mencari jalan penyelesaian memastikan India terus membeli minyak kelapa sawit dari negara ini.

"Itu kita perlu lakukan, cari penyelesaian. Namun hakikatnya ialah apa yang berlaku di India itulah yang menimbulkan lebih banyak masalah dan rasa tidak gembira dalam kalangan penduduk di sana.

Artikel Berkaitan:

"Malah seluruh dunia juga merasakan diskriminasi itu tidak patut,” katanya.

Baru-baru ini beberapa media melaporkan, ada pihak di India mahu memboikot minyak sawit dari Malaysia termasuk kerajaan India yang meminta pengimport minyak sawit negara itu menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: India tidak boikot minyak sawit Malaysia

Bagaimanapun semalam, Menteri Industri Utama, Teresa Kok menafikan perkara itu, sebaliknya berkata pembeli minyak sawit di negara itu mahu kerajaan Malaysia meningkatkan eksport minyak sawit mentah dan mengurangkan pengeksportan bekalan berkenaan yang telah diproses.

Sementara itu, mengulas berhubung isu sekatan perdagangan dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran termasuk konflik terbaharu antara dua negara itu, Dr Mahathir berkata, ia memberi kesan terhadap Malaysia.

Ujarnya, AS dan Iran tidak wajar berjuang untuk kepentingan sendiri sebaliknya perlu membawa konflik berkenaan ke meja rundingan agar pasaran Malaysia dan beberapa lagi negara tidak terjejas.

“Saya tidak mempercayai sekatan, jika kamu memohon sekatan, kamu menyakiti rakyat. Seperti Iran, jika kamu meletakkan sekatan terhadap Iran, Malaysia juga mengalami kerugian kerana kami kehilangan pasaran kami," katanya.