Pembantu klinik, teman lelaki samun doktor diberkas

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Polis menahan seorang wanita yang juga pembantu klinik disyaki bersubahat dengan teman lelakinya melakukan jenayah samun terhadap seorang doktor di sebuah klinik di Taman Pandan Indah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, dalam kejadian pada jam 8.48 pagi, pihaknya menerima laporan seorang lelaki bersenjatakan objek menyerupai pistol menyamun seorang doktor di klinik terbabit dengan kerugian dilaporkan sebanyak RM2,443.

"Berdasarkan semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang memakai sweater hitam, seluar jeans berwarna biru lusuh dan but keselamatan berwarna hitam telah masuk ke dalam klinik dan keluar selepas beberapa minit dengan hasil wang perniagaan klinik tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, siasatan mendapati keterangan seorang wanita berusia 24 tahun yang bekerja di klinik terbabit sejak bulan lalu meragukan.

Katanya, soal siasat mendapati suspek telah berpakat dan bersubahat dengan teman lelakinya yang berusia 26 tahun yang dikenali enam bulan lepas.

"Pihak polis telah merampas pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian, wang tunai berjumlah RM310, dua resit deposit tunai berjumlah RM2,050 dan barangan lain untuk tujuan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat," katanya.

Artikel Berkaitan: