X

Kindly register in order to view this article
!

Temui ajal ketika dalam perjalanan ke hospital

Mayat mangsa dihantar ke HTJ. -FOTO: IHSAN BOMBA
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki warga emas yang dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, Selangor menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 259.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara sebelum susur keluar tol Seremban-Port Dickson di sini awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 6.23 pagi itu dipercayai berlaku selepas kereta jenis Toyota Vios dinaiki mangsa, Lok Kau, 74, yang dipandu adiknya, Low Yet Siong, 67, terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. -FOTO: IHSAN BOMBA
Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. -FOTO: IHSAN BOMBA

Penguasa Bomba Kanan (PBK) dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd Syazwan Saidy berkata, seramai 12 anggota termasuk pegawai ditugaskan ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Sebaik sampai didapati mangsa tersepit di bahagian 'dashbord' dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang buat pemeriksaan.

"Bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian duduk penumpang hadapan," katanya.

Keadaan kereta Toyota Wish dinaiki mangsa yang remuk teruk di bahagian hadapan. -FOTO: IHSAN BOMBA
Keadaan kereta Toyota Wish dinaiki mangsa yang remuk teruk di bahagian hadapan. -FOTO: IHSAN BOMBA

Menurutnya, Yet Siong pula dihantar HTJ untuk rawatan lanjut akibat cedera ringan pada bahagian kepala, muka dan dada manakala Lok Kau diserahkan kepada polis.

Mohd Syazwan berkata, Yet Siong memberitahu dia dari Tampin menuju ke Hospital Serdang, Selangor untuk menemani abangnya itu membuat pemeriksaan rawatan penyakit kanser.

"Dia memberitahu ketika itu lebuh raya berkenaan agak gelap dan sebaik sampai di lokasi kenderaannya hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan mengakibatkan berpusing dan terbabas ke tengah jalan," katanya.