Kempen Speak Out inisiatif 'tegur' perokok

A
A
A

KEMPENSpeak Out: Express Your Right merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadvokasikan rakyat Malaysia untuk menegur perokok yang merokok di sekeliling mereka.

Barangkali seseorang itu mengenali orang yang merokok atau terserempak dengan perokok yang merokok di kawasan larangan merokok.

Ayuh, jadilah sebahagian ejen perubahan tingkah laku ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara bebas asap rokok. Sampai bila seseorang yang tidak merokok perlu 'lemas' dengan asap si perokok?

Umum tahu, tabiat merokok boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit terutama penyakit kanser paru-paru, tekanan darah tinggi, strok, penyakit jantung dan mati pucuk.

Walaupun tidak merokok, seseorang sebenarnya terdedah kepada asap rokok basi dan asap rokok tertier, sekali gus mendedahkan diri kepada pelbagai penyakit seperti seorang perokok.

Nyatakan rasa tidak selesa kepada orang yang merokok di sekeliling anda.

Namun, tegurlah dengan cara yang paling berhemah dan sopan.

TATACARA MENEGUR

1. Mulakan niat yang baik untuk menegur.

2. Gunakan perkataan yang baik.

3. Luahkan dengan sopan dan berhemah.

Kepada anda yang berani Speak Out: Express Your Right!, sekiranya perokok tidak memberikan respons seperti yang diharapkan, senyum dan yakinlah, anda telah melakukan yang terbaik. Syabas!

Artikel Berkaitan:

Kepada perokok, terimalah teguran dengan memberi respon yang positif.

Percayalah yang orang sekeliling sebenarnya amat menyayangi anda.

Anda yang merokok juga boleh membantu dengan menegur rakan-rakan yang merokok di sekeliling mereka yang tidak merokok. Suarakan juga hasrat anda untuk berhenti merokok.

Jadilah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang menghargai udara bersih dan sihat. Bersama-sama kita komited menjadikan Malaysia sebuah negara bebas asap rokok.

Terdahulu, KKM telah menetapkan tindakan penguatkuasaan larangan merokok dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari lalu.

Individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Kementerian Kesihatan mewartakan semua tempat makan sebagai tempat larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983.

Sekiranya anda mengenali perokok, atau anda sendiri sebagai perokok yang berhasrat untuk berhenti, usah tunggu lagi.

Dapatkan bantuan dan nasihat melalui quitline di talian 03-88834400, atau kunjungi Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok di hospital terpilih seluruh Malaysia.

Untuk maklumat lanjut layari http://jomquit.moh.gov.my.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah menetapkan tindakan penguatkuasaan larangan merokok dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari lalu.
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah menetapkan tindakan penguatkuasaan larangan merokok dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari lalu.

Sumber: infosihat@gov.my/