Jangan berputus harap, teruskan berdoa

JAGALAH adab ketika berdoa dan sentiasa yakin bahawa ALLAH akan mengabulkan hajat kita sama ada cepat atau lambat.
JAGALAH adab ketika berdoa dan sentiasa yakin bahawa ALLAH akan mengabulkan hajat kita sama ada cepat atau lambat.
A
A
A

DOA seringkali dikaitkan sebagai 'senjata' bagi orang Mukmin.

Ia sememangnya dituntut dan menjadi tugas kita sebagai seorang hamba ALLAH untuk membuat permohonan doa berkenaan.

Namun, sama ada permohonan diterima atau tidak, jangan sesekali kita persoalkan kerana itu adalah urusan ALLAH SWT.

Seandainya dikabulkan doa kita, panjatkanlah rasa syukur kepada-NYA dan jangan kufur dengan nikmat yang diberikan-NYA.

Andai kata doa kita belum dimakbulkan lagi, usahlah simpan rasa sedih dalam diri.

Bukanlah ALLAH tidak sayangkan kita, tetapi ketahuilah bahawa DIA MAHA MENGETAHUI bilakah waktu yang sesuai untuk menerima permohonan kita.

Sebenarnya, ada dua isyarat kenapa doa kita tidak dikabulkan iaitu pertama, barangkali perkara itu tidak baik untuk kita dan kedua, DIA akan memakbulkan doa berkenaan apabila tiba waktunya.

Justeru, usah gusar sekiranya doa kita lambat dikabulkan.

Artikel Berkaitan:

Hakikatnya, ALLAH SWT mendengar keluhan dan apa yang dipohon hamba-hamba-NYA.

Cuma kita sahaja yang kadangkala terburu-buru mahu hajat kita dikabulkan segera.

Sabda Rasulullah SAW: "Berdoalah kamu sekalian pada ALLAH SWT dengan perasaan yakin akan dikabulkannya doamu. Ketahuilah bahawasanya DIA tidak akan mengabulkan doa orang yang hatinya lalai dan tidak bersungguh-sungguh." (Riwayat al-Tirmizi)

Apapun, kita kena yakin bahawa ALLAH pasti akan mengabulkan doa kita sama ada cepat atau lambat.

Apabila kita berdoa, jagalah adab dengan sebaiknya.

Ia sepertimana kita pergi memohon pekerjaan yang pastinya ada etika tertentu untuk seseorang itu diterima permohonannya oleh pihak majikan.

Apakah adab-adab berdoa? Jom kita telusuri satu-persatu:

1. Ikhlas berdoa kerana ALLAH.

Bersungguh-sungguhlah ketika berdoa, bukan hanya bersikap sambil lewa sambil mengharapkan doa kita tadi dimakbulkan!

2. Mengakui dosa yang telah dilakukan.

Ketahuilah bahawa tiada manusia yang bersih tanpa noda dan dosa. Akuilah dosa itu, bertaubat dan memohon ampunlah kepada-NYA.

3. Merendah diri.

Ingatlah bahawa kita ialah hamba yang lemah dan sentiasa takut dengan seksaan di akhirat kelak.

4. Mulai dengan bertahmid dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

5. Makan daripada sumber yang halal.

6. Berdoa pada waktu mustajab.

Waktu yang dianjurkan untuk berdoa agar dikabulkan adalah setiap satu pertiga malam terakhir, ketika bersujud atau azan, antara azan dan iqamat serta sewaktu bermusafir.

Justeru, sebagai Muslim yang sejati, teruskan berdoa dan jangan sesekali berputus harap.

(Sumber: Seindah Sabda Rasul, Muhd Nasruddin Dasuki)