Santuni penduduk setiap minggu

Azhar (tengah) menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada warga emas, Che Yah Hasan di rumahnya di Kampung Tempayan Pecah, dalam PDM Gandai.
Azhar (tengah) menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada warga emas, Che Yah Hasan di rumahnya di Kampung Tempayan Pecah, dalam PDM Gandai.
A
A
A

AYER HITAM - Nasib penduduk yang uzur dan memerlukan bantuan mendapat pembelaan sewajarnya menerusi program ziarah secara mingguan.

Adun Ayer Hitam, Azhar Ibrahim berkata, program berkenaan adalah hasil kerja keras biro kebajikan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Ayer Hitam yang aktif turun padang untuk mengenalpasti penerima yang layak.

Katanya, ziarah berkenaan juga sebagai tanda prihatinnya dengan nasib penduduk selain platform untuk merapatkan silaturahim antara pemimpin dan orang kampung.

"Biasanya kami akan turun ziarah warga emas dan mereka yang uzur. Sebagai buah tangan dan tanda ingatan, kami akan sampaikan sedikit sumbangan kepada mereka.

"Sebenarnya bila kita turun padang sebegini, kita dapat merasai sendiri denyut nadi rakyat dan dapat dengar sendiri masalah mereka. Seterusnya, kita akan bantu dengan cari penyelesaian yang sesuai," katanya selepas menyampaikan sebuah kerusi roda kepada seorang warga emas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gandai, baru -baru ini.

Sementara itu, Pengarah PKWR Ayer Hitam, Abdul Hadi Omar berkata, mereka menerima banyak aduan dan permohonan untuk mendapatkan bantuan dan sumbangan.

"Insya-ALLAH kami akan sedaya upaya memenuhi hajat pemohon mengikut kemampuan kami.

"Walaupun kami tiada peruntukan daripada kerajaan negeri kepada Adun pembangkang, namun ia tidak menjadi halangan buat Adun Ayer Hitam untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang dalam membantu rakyat khususnya dalam Dun ini," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerlun berkata, beliau sangat berharap agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan supaya peruntukan juga dapat diberikan kepada Adun pembangkang kerana mereka juga menjalankan amanah rakyat.

Terdahulu, Azhar bersama pasukan PKWR Ayer Hitam berkunjung ke enam rumah yang terdiri daripada penduduk kampung yang uzur dalam PDM Gandai.