Perkeso Muar keluar tuntutan lebih RM10 juta

Redhuan menampal pelekat Ops Kesan Perkeso ketika mengadakan pemeriksaan sebagai bukti perusahaan berkenaan disemak pihaknya.
Redhuan menampal pelekat Ops Kesan Perkeso ketika mengadakan pemeriksaan sebagai bukti perusahaan berkenaan disemak pihaknya.
A
A
A

MUAR - Perkeso Muar terus komited menjaga nasib dan kebajikan sekiranya mereka datang mengemukakan tuntutan bersesuaian.

Pengurus cawangannya, Redhuan Muda berkata, ia terbukti apabila jumlah tuntutan dikeluarkan pihaknya saban tahun menunjukkan peningkatan.

Katanya, sepanjang tahun lalu, lebih RM10 juta nilai tuntutan dikeluarkan berbanding RM9 juta pada 2017 dan lebih RM8 juta bagi 2016 dan 2015

“Jumlah tuntutan direkodkan sejak Januari hingga Disember 2018 adalah bernilai RM10,353,562.91 yang meliputi 3,641 pencarum.

“Ia merangkumi pelbagai faedah paling tinggi adalah bagi Hilang Upaya Kekal (HUK) iaitu RM4.7 juta. Kemudian, Hilang Upaya Sementara (HUS) RM4.2 juta dan seterusnya faedah Pencen Penakat membabitkan jumlah sehingga RM727,384.48,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Redhuan, bagi faedah Pengurusan Mayat pula, Perkeso Muar mengeluarkan nilai sebanyak RM502,000 manakala tuntutan bagi Pencen Ilat berjumlah RM103,965 dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) adalah RM40,586.

Dalam pada itu ujar Redhuan, pihaknya kini menerima 790 pendaftaran majikan baru menjadikan jumlah keseluruhan majikan mencarum di daerah ini adalah lebih 20,000.

Redhuan berkata, Perkeso memandang serius kegagalan pihak syarikat mendaftarkan pekerjanya di bawah pertubuhan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kesedaran pihak majikan untuk mendaftar dengan Perkeso adalah disebabkan penglibatan mereka terhadap kempen yang kami war-warkan serta program-program taklimat.

"Tindakan undang-undang termasuk pendakwaan di mahkamah boleh diambil ke atas mana-mana majikan yang didapati gagal berdaftar dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 bagi setiap satu pendakwaan atau kedua-duanya sekali.

"Justeru, mana-mana majikan yang masih tidak mendaftar perlu berbuat demikian dengan menghadirkan diri di pejabat Perkeso Muar atau menghubungi kami di talian hotline ataupun layari laman web rasmi kami," katanya.

Dalam perkembangan lain, Redhuan menyeru agar majikan tidak terlepas pandang untuk mendaftarkan pekerja mereka yang berbangsa asing di bawah akta Skim Bencana Pekerjaan Pekerja Asing (SBPPA).

Katanya, akta yang telah dikuatkuasakan bermula Januari ini akan melindungi kebajikan golongan itu selepas ia telah diputuskan dalam Kabinet November lalu.