Mangsa banjir di Jakarta saman kerajaan

Penduduk membersihkan rumah mereka selepas banjir dicetuskan hujan lebat melanda Jakarta pada 1 Januari lalu. - Foto AFP
Penduduk membersihkan rumah mereka selepas banjir dicetuskan hujan lebat melanda Jakarta pada 1 Januari lalu. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Mangsa terjejas banjir di ibu negara Indonesia memfailkan saman terhadap kerajaan wilayah selepas mendakwa pegawai gagal melindungi orang awam daripada bencana itu yang disebabkan hujan lebat pada ambang tahun baru lalu.

Jakarta Post memetik kenyataan peguam mewakili Pasukan Advokasi Mangsa Banjir Jakarta 2020 dan Pasukan Advokasi Mangsa Banjir Bekasi 2020 melaporkan seramai 243 individu membuat tuntutan.

Individu terbabit kebanyakan ialah penduduk di kawasan kejiranan di dataran rendah yang menuntut ganti rugi berjumlah 43.3 bilion Rupiah (RM12.8 juta).

Jumlah penuntut itu dijangka meningkat memandangkan terdapat 350 lagi tuntutan yang masih belum dinilai.

"Ini adalah salah kerajaan. Bukan hanya kerana hujan lebat. Sebelum ini, ada usaha meluaskan sungai, namun projek itu dihentikan," kata penduduk Tanah Rendah di Jakarta Timur, Tika Suputro.

Menjelang ambang tahun baru lalu, taburan hujan di Jakarta mencatatkan 37 sentimeter dalam tempoh 24 jam hingga mencetuskan banjir terburuk di bandar raya terbabit sejak 2007.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dikecam banyak pihak kerana memotong bajet untuk menangani banjir di bandar raya tersebut pada setiap tahun sejak beliau memegang jawatan pada 2017.

Difahamkan, hanya separuh daripada kawasan penempatan penduduk di kawasan Sungai Ciliwung sepanjang 30km dibersihkan yang didakwa boleh memburukkan lagi banjir. - Agensi

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 16 maut banjir di Jakarta

‘Buang sampah merata bukan punca Jakarta banjir’