X

Kindly register in order to view this article
!

Beri peluang parti tempatan Sabah bangun Kimanis

Calon Parti Warisan (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Parlimen Kimanis Datuk Karim Bujang (kiri) bersalaman dengan penduduk Kampung Matujung ketika mengadakan perjumpaan dengan penduduk kampung itu sempena kempen PRK parlimen itu hari ini. - Foto Bernama
A
A

KIMANIS - Penduduk perlu memberi peluang kepada anak jati Kimanis daripada parti tempatan Sabah untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis 18 Januari ini ke arah pembangunan lebih mampan di kawasan berkenaan.

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang berkata, kawasan Parlimen itu sudah lama dipimpin oleh wakil rakyat serta parti dari luar iaitu Barisan Nasional, namun keadaan pembangunan di tempat tersebut masih tidak berubah.

"Sudah lama Parlimen ini dipegang orang luar yang datang bermusim, datang dengan topi koboinya, datang dengan cerut besarnya.

"Kadang kala kalau datang pun, penduduk tidak tahu di mana dia 'runduk' (hinggap) atau singgah sehingga sukar untuk rakyat bertemu dan memohon bantuan," katanya yang berasal dari Bongawan, ketika berucap pada program bertemu pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gadong di sini hari ini.

Parlimen Kimanis sebelum ini diwakili selama tiga penggal oleh bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman daripada BN yang kemudian bertindak keluar daripada parti itu pada hujung tahun lalu.

Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony yang turut hadir pada majlis tersebut berkata, momentum parti selepas 10 hari berkempen adalah positif dan rata-rata penduduk di kawasan parlimen Kimanis menerima baik calon diketengahkan parti, selain bersedia memberi sokongan kepada beliau.

"Pengundi Kadazandusun Murut (KDM) yang ditemui juga menyatakan sokongan penuh kepada Warisan, kepada calon kita. Jadi saya percaya dalam masa dua tiga hari (berkempen) ini akan bertambah sokongan daripada masyarakat KDM kepada parti," katanya.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan calon BN, Datuk Mohamad Alamin. Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Januari dan hari pengundian awal esok. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!