X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Bila pemain Real Madrid belajar tulisan jawi

Video yang dimuat naik oleh Real Madrid berdurasi 59 saat itu kini tular di media sosial yang meraih 327,900 tontonan dan 1,500 ulang kicau.
A
A

JEDDAH - Gelagat pemain-pemain pasukan bola sepak Real Madrid meneka nama mereka dalam tulisan Arab ataupun dipanggil jawi di negara ini ketika berlangsungnya sesi latihan bagi perlawanan final Piala Super Sepanyol, baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi netizen.

Rakaman agak mencuit hati itu dikongsikan sendiri oleh Real Madrid melalui laman rasmi Twitter mereka, memaparkan dua pemain, Lucas Vázquez dengan Álvaro Odriozola sedang mencari jersi mereka dalam tulisan itu.

Video berdurasi 59 saat itu kini tular di media sosial yang meraih 327,900 tontonan dan 1,500 ulang kicau.

Perkongsian tersebut membuatkan warga maya terpegun melihat keunikan latihan dibawa Real Madrid dan rata-rata netizen khususnya rakyat Malaysia memuji tindakan dilakukan oleh kelab bola sepak tersebut.

"Terbaik Real Madrid mendedahkan tulisan jawi pada pemain mereka yang memberi ilmu baharu kepada mereka. Syabas Real Madrid. Ini yang patut kerajaan Malaysia contohi. Jawi itu warisan budaya dan bukannya keagamaan," tulis DIn Samad di Twitter.

Hashim bear pula memberitahu "Syabas Real Madrid, kalau kelab bola sepak gergasi pun boleh dedah tulisan jawi pada pemainnya, kenapa Malaysia tak boleh? Di Malaysia, jawi yang sememangnya digunakan sejak dahulu lagi ditentang oleh Cina yang merupakan rakyat Malaysia sendiri. Apa nak jadi?"

Tangkapan layar video memaparkan pemain pasukan Real Madrid sedang mencari mana satu jersi mereka dalam tulisan jawi.
Tangkapan layar video memaparkan pemain pasukan Real Madrid sedang mencari mana satu jersi mereka dalam tulisan jawi.

Terdahulu, Real Madrid menewaskan seteru bandar Atletico Madrid, 4-1 dalam penentuan penalti selepas seri tanpa jaringan sebaik tambahan masa perlawanan berakhir untuk memenangi edisi pertama Piala Super Sepanyol yang diubah ke Arab Saudi, pagi ini.

Kapten pasukan, Sergio Ramos menyempurnakan penalti keempat dengan penuh ketegangan buat Real selepas Dani Carvajal, Rodrygo Goes dan Luka Modric berjaya melengkapkan jaringan buat pasukan itu.

Pasukan Real Madrid dan Atletico Madrid sudah berkampung beberapa hari di Arab Saudi sebelum sepak mula berlangsung.

Antara sebab kenapa La Liga memilih Arab Saudi sebagai gelanggang akhir Supercopa de Espana adalah untuk mempromosikan liga mereka dalam kalangan masyarakat di sana.

Tetapi apa yang uniknya adalah selepas latihan santai berlangsung, kem Real Madrid telah melakukan satu aktiviti berpasukan di mana para pemain perlu meneka nama mereka di dalam tulisan jawi – jawi adalah sebahagian daripada bahasa arab.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!