Api raksasa di Australia berjaya dikawal

Kebakaran di Gunung Gospers di pinggir laut Sydney yang tidak terkawal selama hampir tiga bulan kini dapat dikawal. - Foto Agensi
Kebakaran di Gunung Gospers di pinggir laut Sydney yang tidak terkawal selama hampir tiga bulan kini dapat dikawal. - Foto Agensi
A
A
A

SYDNEY - Pasukan bomba hari ini memaklumkan mereka berjaya mengawal kebakaran raksasa di Australia yang berlarutan sejak September lalu akibat kemarau panjang melanda negara itu.

Jurucakap bomba New South Wales (NSW) berkata, kebakaran di Gunung Gospers di pinggir laut Sydney yang tidak terkawal selama hampir tiga bulan kini dapat dipadamkan.

"Terdapat kawasan kecil yang masih terbakar, namun langkah menangani kebakaran itu daripada merebak menunjukkan kesan positif," kata Pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba NSW, Shane Fitzsimmons.

Biro Meteorologi meramalkan beberapa lokasi kebakaran dijangka menerima taburan hujan sehingga 50 milimeter pada minggu depan.

Bencana yang didakwa berpunca daripada fenomena perubahan iklim itu menyebabkan Taman Negara seluas tiga kali ganda daripada Greater London dan lebih 800,000 hektar kawasan musnah dijilat api.

Ketika ini, pasukan bomba masih berhempas-pulas untuk mengawal puluhan kebakaran belukar di kawasan lain.

Kebakaran dahsyat itu juga turut mendapat bantuan derma antarabangsa untuk membantu komuniti dan flora serta fauna yang terjejas teruk selepas dianggarkan satu bilion haiwan mati dalam bencana tersebut.

Menteri Alam Sekitar, Sussan Ley dalam satu kenyataan memberi amaran koala di beberapa kawasan mungkin perlu diklasifikasikan sebagai terancam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kaji selidik terbaru menunjukkan sokongan ke atas Perdana Menteri, Scott Morrison merosot susulan kemarahan awam yang meningkat atas ketidakcekapan pentadbiran beliau menangani krisis kebakaran tersebut.

Keputusan tinjauan dibuat Newspoll mendapati 59 responden tidak berpuas hati dengan prestasi pemimpin Parti Konservatif tersebut dan hanya 37 peratus menyokong beliau yang menyaksikan pembalikan secara mendadak sejak kemenangannya dalam pilihan raya pada Mei lalu.

Morrison terus dikecam banyak pihak kerana gagal memberi respons terhadap krisis itu selain menegaskan bencana tersebut tiada kaitan dengan perubahan iklim.

Sebagai usaha meraih semula kepercayaan orang ramai, beliau bertindak mengerahkan tentera, pasukan simpanan, berjanji menyalurkan bantuan berbilion dolar, menaikkan gaji anggota bomba dan mencadangkan lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menangani kesan rumah hijau. - AFP