PBC Pangkor: Penurunan harga dirasai selepas tiga bulan

Sivanesan (tiga dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada peniaga di Pekan Pangkor ketika membuat tinjauan mesra bersama komuniti di Pulau Pangkor hari ini.
Sivanesan (tiga dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada peniaga di Pekan Pangkor ketika membuat tinjauan mesra bersama komuniti di Pulau Pangkor hari ini.
A
A
A

LUMUT - Penurunan harga barangan di Pulau Pangkor ekoran pelaksanaan pulau bebas cukai (PBC) hanya akan dirasai selepas tiga bulan dari tarikh pelaksanaannya.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, keadaan itu disebabkan kebanyakan barangan dijual peniaga dibeli dengan harga stok lama kerana barangan bebas cukai hanya boleh dibawa masuk selepas 1 Januari 2020.

Bagaimanapun katanya, barangan seperti rokok mula menampakkan penurunan harga sehingga 150 peratus kerana pengecualian cukai tersebut.

"Berdasarkan tinjauan harga barangan di PBC Pangkor tidak banyak berubah, namun bagi melindungi pengguna dan pengunjung daripada peniaga tidak beretika, pihak Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menjalankan Kajian Indeks Harga bagi barangan dan perkhidmatan di pulau tersebut.

"Perbandingan harga purata dilakukan pada 1 Disember 2019 dengan 1 hingga 7 Januari 2020. Sebanyak 109 premis melibatkan empat kawasan yang terlibat iaitu di Pekan Pangkor, Sungai Pinang Kecil, Pantai Pasir Bogak dan Pantai Teluk Nipah telah diperiksa pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDNHEP," katanya kepada pemberita selepas menjalankan tinjauan mesra bersama komuniti Pulau Pangkor di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah KPDNHEP Perak, V Ravichandran; Pengarah Sekretariat PBC, Laila Mazwin Zakaria dan wakil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Stesen Pangkor, Akhimullah Muhaimin Norbi.

Sivanesan berkata, berdasarkan pemantauan yang dibuat, 23 jenis barangan keperluan pengguna mengalami perubahan harga melebihi 10 peratus manakala bagi makanan siap masak turut mengalami kenaikan harga melebihi 10 peratus melibatkan 18 jenis masakan.

Katanya, kenaikan tersebut disebabkan faktor logistik barangan mentah yang terpaksa dibawa masuk melalui jeti Kampung Acheh berbanding sebelum ini Jeti Marina.

Artikel Berkaitan: