Influenza A: Keadaan terkawal di Kedah, usah panik

DR ISMAIL
DR ISMAIL
A
A
A

ALOR SETAR - Penduduk di Kedah tidak perlu panik dengan penularan virus influenza berikutan ia masih terkawal dan tidak serius di negeri ini.

Exco Kesihatan, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, sejak awal Januari, hanya terdapat kurang 20 individu disahkan dijangkiti virus berkenaan dengan menyifatkannya sebagai simptom biasa, bukannya wabak.

“Kita sentiasa bersedia hadapi sebarang kemungkinan jika berlaku kes serius membabitkan kluster penyakit berisiko influenza A.

"Kita turut lakukan pemantauan setiap tahun, tiada peningkatan ketara berbanding tahun lalu. Disebabkan itu, tiada notifikasi kerana setakat ini tiada kluster atau wabak,” katanya selepas hadir Majlis Perasmian Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh hari ini.

Ismail berkata, setakat ini pesakit yang dirawat telah dibenarkan pulang melibatkan daerah Kubang Pasu, Kuala Muda, Bandar Baharu dan Kota Setar.

“Pesakit terdiri daripada guru dan pelajar, namun bukan melibatkan keseluruhan warga sekolah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengamalkan langkah pencegahan terutama dari aspek penjagaan dan kebersihan diri.

“Kalau berlaku wabak, kita akan maklumkan dan perlu mematuhi langkah pencegahan. Dinasihatkan agar jika batuk, jangan ke arah orang selain pakai topeng muka. Basuhlah tangan secara kerap kerana penyakit ini boleh merebak melalui udara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin untuk menyediakan ruang khas merokok, Dr Ismail berkata, kerajaan negeri tetap dengan pendirian tidak menggalakkan kemudahan seperti itu.

“Tak perlu sediakan tempat spesifik, tiada keperluan namun bergantung kepada pihak berkuasa. Kalau wujudkan ruang khas, mesej yang ingin sampaikan kerajaan mengenai bahaya merokok tidak tercapai. Saya hormati apa saja keputusan kelak,” katanya.

Pada 7 Januari lalu, Zuraida berkata, kementeriannya membenarkan pemilik restoran atau kedai makan, sama ada milik persendirian atau pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kawasan khas merokok di luar premis, pada jarak sekurang-kurangnya tiga meter dari meja makan terdekat.

Bagaimanapun kawasan khas merokok yang disediakan dengan tempat membuang puntung rokok tidak boleh dijadikan ruang makan dan minum oleh perokok.