Jabatan Kesihatan Johor wujudkan kaunter ubat pandu lalu

Gambar hiasan - 123RF
Gambar hiasan - 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan mewujudkan kaunter pengambilan ubat secara pandu lalu bagi menangani masalah kepadatan pesakit di hospital-hospital kerajaan di negeri ini.

Exco Kesihatan, Pendidikan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan berkata, berdasarkan cadangan awal, kesemua kaunter pengambilan ubat itu berkemungkinan akan dibuka di pusat beli-belah terpilih.

“Kita ada jumpa beberapa kaedah-kaedah untuk tingkatkan perkhidmatan hospital, sebagai contoh buat pesakit yang mahu ambil ubat, jadi kita nak kurangkan kesesakan di tempat-tempat menunggu dengan wujudkan kaunter pandu lalu.

“Dengan cara ini mereka ini boleh duduk dalam kereta sahaja untuk ambil ubat. Sekarang ini kita sedang dapatkan kerjasama daripada pihak pengusaha pusat beli belah, untuk dapatkan kedudukan sesuai untuk kita tempatkan pegawai dan bekalan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor di Wisma Persekutuan di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Aman Rabu.

Aminolhuda berkata, sebanyak tiga lokasi untuk penempatan kaunter pandu lalu di daerah ini juga telah dikenal pasti yang mana dijangka boleh bermula pada Jun depan.

“Kita sedang berbincang lagi mengenai perkara ini, buat masa ini tiga lokasi telah dikenal pasti iaitu di pusat beli-belah Aeon Tebrau, Pasaraya Giant Tampoi dan Galeria Kota Raya,” katanya.

Beliau berkata, langkah keselamatan bagi mengelakkan kaunter itu disalah guna pihak tidak bertanggungjawab juga sudah difikirkan selain yakin ia boleh berjalan tanpa sebarang masalah.

Artikel Berkaitan:

“Kaedahnya senang, sesiapa yang mahu ubat, mereka hanya perlu ambil, asalkan mempunyai deskripsi sah dikeluarkan mana-mana doktor di hospital kita, biasanya urusan ini hanya membabitkan pesakit berulang,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan perkembangan terkini Hospital Pasir Gudang sebagai fasiliti kesihatan baharu di negeri ini sudah pun memasuki fasa penilaian tender.

“Kita dah buka penilaian tender, jadi paling lewat Jun ini kita dah boleh keluarkan surat setuju terima (SSP) kepada mereka yang berkenaan. Selepas itu kita harap boleh mula lah pembinaan hospital baharu di Pasir Gudang.

“Jadi sesuai juga lah untuk Pasir Gudang yang mahu dinaikkan sebagai bandar raya, pembinaan ini juga dilihat amat membantu bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail,” katanya.