Pemandu maut, dua rakan parah kereta terbabas

Keadaan kereta dinaiki tiga mangsa remuk selepas terbabit kemalangan di Jalan Tasik Puteri, Bukit Besi semalam. Gambar kecil; Mohd Asmawi - Foto ihsan IPD Dungun
Keadaan kereta dinaiki tiga mangsa remuk selepas terbabit kemalangan di Jalan Tasik Puteri, Bukit Besi semalam. Gambar kecil; Mohd Asmawi - Foto ihsan IPD Dungun
A
A
A

DUNGUN - Seorang lelaki maut manakala dua rakannya parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit kemalangan di Jalan Tasik Puteri, Bukit Besi di sini pada jam 12.20 tengah malam semalam.

Mangsa yang juga pemandu, Mohd Asmawi A Rashid, 37, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang hadapan, Muhammad Zulfakar Ghali@Ghazali, 27, dan Muhammad Sharin Ilias, 26, yang duduk di bahagian penumpang belakang parah kini dirawat di Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, nahas dikatakan berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar tunggul kayu di bahu jalan.

"Ketiga-tiga mangsa dipercayai dari Bukit Besi dan dalam perjalanan ke kedai makan di Jalan Tasik Puteri.

"Setibanya di lokasi, kereta dipandu Mohd Asmawi hilang kawalan lalu terbabas ke kanan dan melanggar tunggul kayu di bahu jalan sebelah kanan.

"Akibat perlanggaran itu, Mohd Asmawi disahkan meninggal dunia di lokasi manakala dua penumpangnya parah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.

Artikel Berkaitan: