Calon SPM antara ditahan merempit

Sebahagian daripada motosikal yang disita dibawa ke IPD Dungun untuk tindakan lanjut. Foto: Ihsan IPD Dungun (Gambar kecil: Baharudin Abdullah)
Sebahagian daripada motosikal yang disita dibawa ke IPD Dungun untuk tindakan lanjut. Foto: Ihsan IPD Dungun (Gambar kecil: Baharudin Abdullah)
A
A
A
DUNGUN - Seramai 115 mat rempit termasuk seorang remaja calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan kerana berlumba dan melakukan pelbagai aksi berbahaya dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Paka Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Pantai Teluk Gadong, Jumaat lalu.

Operasi dilakukan mulai 12 tengah hari sehingga 11 malam itu turut melibatkan beberapa lokasi lain termasuk di Kilometer (KM) 75 dan 85, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, lokasi itu menjadi tumpuan kerana sering kali dijadikan tempat berlumba pada hari minggu terutama hari Jumaat.

Katanya, selain itu, pihaknya sering mendapat aduan awam termasuk pemimpin setempat yang memaklumkan aktiviti mat rempit pada hari-hari tersebut sehingga mengundang rasa takut pengguna jalan raya lain.

"Dalam masa sama, kita dapati kumpulan mat rempit ini terlalu berani apabila ada yang bertindak 'melawan' anggota yang mengambil tindakan terhadap mereka di lokasi sebelum ini selepas dikesan melakukan kesalahan.

"Bagaimanapun, individu terlibat sudah pun dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman setimpal, jadi kami tidak mahu kejadian sama berulang lagi kerana sekiranya dibiarkan, gejala ini boleh membahayakan serta menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurut Baharudin lagi, dalam operasi itu, kesemua yang ditahan berusia antara 17 hingga 25 tahun selepas dikesan berlumba haram selain melakukan aksi-aksi yang merbahaya seperti mencuba kelajuan motosikal dan melakukan aksi 'wheelie'.

"Selain itu, sebanyak 556 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu sah, cukai jalan tamat tempoh, ubah suai motosikal, motosikal tiada nombor pendaftaran, aksesori tidak lengkap dan lain-lain.

"Sebanyak 251 motosikal diperiksa dan daripada jumlah tersebut 59 disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk tindakan lanjut," katanya.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, lima daripada mat rempit itu ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara berbahaya.