Dua tokan dadah diberkas

Nadirah menunjukkan jumlah tangkapan penagih dalam operasi AADK Negeri Sembilan, semalam.
Nadirah menunjukkan jumlah tangkapan penagih dalam operasi AADK Negeri Sembilan, semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan menahan dua lelaki dipercayai pengedar dadah dalam Operasi Cegah dan Aduan Khas di kawasan Felcra Ayer Hitam, Jempol, semalam.

Pengarah AADK Negeri Sembilan, Nadira Sadiron berkata, kedua-dua mereka dipercayai menjadi pembekal dan pengedar kecil-kecilan dalam kalangan penagih di kawasan tersebut.

“Hasil siasatan dilakukan kita dapat mengesan salah seorang daripadanya mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 39A(1) dan 12(1) Akta Dadah Bahaya 1952.

“Dua lelaki berkenaan kemudiannya diserahkan kepada polis,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat AADK Negeri, Menara Zurich, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Operasi AADK Daerah Jempol, Ahmad Sabri Mohd Yusof.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 10 penagih dadah turut ditahan dalam operasi sama yang bermula dari Isnin sehingga semalam melibatkan Unit Penguatkuasa dan Keselamatan Ibu pejabat AADK dan Cawangan Penguatkuasaan AADK negeri itu.

“Kita dapati kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 49 tahun itu positif dadah terdiri daripada jenis methamphetamine, heroin dan ganja.

“Mereka telah diserahkan kepada pegawai penyiasat AADK Daerah Jempol untuk disiasat mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi dilakukan setelah membuat risikan selama dua minggu hasil aduan dan maklumat yang disalurkan orang awam.

“Ia dijalankan oleh 21 anggota di sekitar Bandar Seri Jempol,Pekan Bahau, Rompin, Ladang Geddes, Sungai Lui dan Felcra Ayer Hitam.

“Turut dirampas dadah seberat 210 gram dengan nilai anggaran RM13,374,”katanya.

Sementara itu, Nadira berkata, statistik bagi kes dadah di daerah Jempol menunjukkan penurunan ketara iaitu sebanyak 69 kes, bersamaan 69 peratus berbanding tahun 2017 iaitu 363 kes.

Bagaimanapun, katanya, kes bagi daerah Tampin menunjukkan kenaikan yang mengejutkan sehingga 72 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pada tahun 2017 sebanyak 251 kes dicatatkan di daerah Tampin dan jumlah itu meningkat menjadi 423 kes sehingga Disember 2018, berlaku peningkatan sebanyak 181 kes.

“Peningkatan ini berlaku disebabkan trend penagihan yang telah berpindah daripada kawasan kampung ke pinggir bandar,” katanya.