NGO bantu 1,800 penerima sambut Tahun Baru Cina

Khalid bersama KK Chai menyampaikan sumbangan kelengkapan harian berserta angpau kepada penerima sumbangan di Karnival BB Charity di Kuala Lumpur. - FOTO ZAHID IZZANI
Khalid bersama KK Chai menyampaikan sumbangan kelengkapan harian berserta angpau kepada penerima sumbangan di Karnival BB Charity di Kuala Lumpur. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1,800 golongan kurang bernasib baik menerima sumbangan pada Karnival Kebajikan Bukit Bintang 2020 kali ke-15 yang berlangsung di KK Super Mart, Jalan Bukit Bintang Ahad lalu.

Bertemakan ‘Kasih Abadi’, karnival kebajikan itu dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Harmoni Bukit Bintang Kuala Lumpur, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH) dan KK Super Mart sempena Tahun Baru Cina.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Harmoni Bukit Bintang Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, pihaknya tidak menyangka projek yang diusahakan pada 2004 akan menjadi karnival kebajikan yang besar seperti kini.

"Ketika itu jumlah penerima hanya 50 orang namun dari tahun ke tahun jumlahnya meningkat sehingga mencecah 1,500 tahun lepas.

"Namun mengambil kira permintaan yang tinggi, pada tahun ini jumlahnya kami tingkatkan lagi kepada 1,800 penerima," katanya.

Khalid (tujuh dari kiri) bersama KK Chai (enam dari kiri) memotong kek dan gimik perasmian Karnival BB Charity di Kuala Lumpur. - FOTO ZAHID IZZANI
Khalid (tujuh dari kiri) bersama KK Chai (enam dari kiri) memotong kek dan gimik perasmian Karnival BB Charity di Kuala Lumpur. - FOTO ZAHID IZZANI

Beliau berkata demikian ketika perasmian Karnival Kebajikan Bukit Bintang 2020 kali ke-15, Ahad lalu yang dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Artikel Berkaitan:

Chai yang juga Presiden KLCAH dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart berkata, beliau akui bukan mudah untuk melaksanakan kerja amal itu terutama dari segi mendapatkan sumbangan dan sukarelawan.

"Namun dari tahun ke tahun, semakin ramai pihak tampil untuk menyalurkan bantuan. Terima kasih kepada penaja dan sukarelawan yang bersama kita dalam menjayakan karnival kebajikan ini.

"Tahun ini, Karnival Kebajikan 2020 membelanjakan lebih RM300,000 bagi penyediaan angpau dan sumbangan barang keperluan bernilai RM100 bagi setiap penerima. Lebih 50 sukarelawan juga membantu menjagakan program ini," katanya.