Yakin Kimanis kekal milik BN

Rafie Mustapha
Rafie Mustapha
A
A
A

SEREMBAN - Pas Negeri Sembilan yakin calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Aliman dapat mengekalkan kerusi BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pesuruhjaya Pas negeri, Rafie Mustapha berkata, pendedahan beberapa isu besar termasuk rakaman audio membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak tidak sedikit pun menganggu semangat berkempen di PRK Kimanis.

Katanya, tindakan tersebut hanya akan membakar diri terutamanya kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dianggap tidak akan memberi kelebihan kepada mereka.

"Tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Latheefa Koya) menyebarkan rakaman audio itu merupakan satu tindakan yang kurang bijak serta dianggap senjata makan tuan.

"Perbuatan itu hanya akan memburukkan lagi keyakinan negara luar dengan Malaysia terutama apabila melibatkan komunikasi atau urusan melalui panggilan telefon dengan agensi kerajaan Malaysia.

"Saya berpendapat, itu semua tidak melemahkan semangat calon BN malah tidak juga memberi kelebihan kepada calon lawan kerana isu nasional itu tidak ada signifikan dengan rakyat Kimanis di Sabah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tambahnya, sesuatu yang sangat mengecewakan apabila Latheefa Koya bertindak sedemikian kerana itu hanya menampakkan sifat beliau yang sungguh tidak profesional selain berunsur politik.

Rafie juga memberitahu seramai tujuh ahli Pas Negeri Sembilan diturunkan di Kimanis untuk membantu calon BN berkempen di daerah Papar.

Artikel Berkaitan:

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman terbatal kerana pelanggaran peraturan pilihan raya.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 4 Januari dan hari mengundi 18 Januari.

Anifah yang mewakili BN dalam pilihan raya umum 2018 menewaskan calon WARISAN, Datuk Karim dengan majoriti 156.