Perak beri tambahan elaun kepada MPKK

Ahmad Faizal (tiga, kanan) dan Asmuni (kanan) menyerahkan Geran Pengurusan MPKK bagi daerah Hilir Perak.
Ahmad Faizal (tiga, kanan) dan Asmuni (kanan) menyerahkan Geran Pengurusan MPKK bagi daerah Hilir Perak.
A
A
A
IPOH - Kerajaan Perak meluluskan elaun tambahan dua bulan kepada setiap pengerusi majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) yang menerima lantikan baharu bagi 2018 hingga 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tambahan elaun dicadangkan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi itu merupakan elaun bagi Ogos dan September berjumlah RM400.

Menurutnya, keputusan sebelum ini menetapkan elaun bulanan sebanyak RM500 daripada Pusat dan RM200 sumbangan kerajaan negeri diberikan bermula Oktober.

"Sejak mula PH memerintah, mereka begitu semangat menjalankan kerja dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri sedangkan mereka bukanlah dari kalangan individu yang memiliki kekuatan kewangan besar.

"Kerana itu kita bercadang elaun di peringkat negeri berjumlah RM200 sebulan diberikan bermula Ogos, saya kira kita tiada masalah besar untuk laksanakannya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian watikah pelantikan kepada 829 pengerusi MPKK Perak, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan Pejabat Kewangan Negeri menyalurkan tambahan elaun itu dalam masa terdekat ini.

"Walaupun jumlahnya tidaklah begitu banyak, saya harap mereka dapat mengekalkan momentum semangat untuk berikan perkhidmatan terbaik di kampung masing-masing.

"Elaun diterima sekadar untuk membantu bukan memberi kelebihan kepada mereka," katanya.

Dalam majlis itu, Ahmad Faizal turut menyampaikan Geran Pengurusan MPKK kepada setiap kampung meliputi 12 daerah melibatkan jumlah keseluruhan RM2.07 juta.
Artikel Berkaitan: