Pendapatan peniaga Pasar Besar Kuantan merosot

Chon Siang menunjukkan jubin lantai di Pasar Besar Kuantan yang perlu diganti.
Chon Siang menunjukkan jubin lantai di Pasar Besar Kuantan yang perlu diganti.
A
A
A

KUANTAN – Peniaga di Pasar Besar Kuantan, Jalan Tun Ismail di sini mahu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengutamakan keselesaan peniaga dan pengunjung dalam pelan cadangan baik pulih pasar itu pada masa akan datang.

Peniaga akhbar, Samsul Anas Nordin, 46, berkata, MPK juga perlu membantu mempertingkatkan promosi kerana jumlah pengunjung kini amat berkurangan.

Menurutnya, selama 25 tahun berniaga, dia mendapati pasar itu sepi pada hujung minggu kerana wujud persaingan daripada kelompok peniaga pasar tani berhampiran.

“Di samping itu, masalah parkir juga jadi faktor orang ramai elak datang ke pasar besar. Lebih-lebih lagi pada hari minggu kerana adanya pasar tani di tapak parkir kompleks UTC.

“Jalan sesak untuk pengunjung masuk hingga ke sini,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kuantan, pagi semalam.

Peniaga ayam, Mohd Nooridham Ahmad, 36, pula berkata, dia berniaga sejak 12 tahun lalu dan tahun lalu pendapatannya turun mendadak.

“Perniagaan semakin merosot kerana orang kurang ke pasar. Dulu boleh jual 200 ekor ayam, sekarang nak sampai 100 ekor ayam pun susah. Kadangkala tak habis.

“Saya cadangkan MPK besarkan saiz lot niaga jual ayam kerana sewa kita lebih mahal berbanding lot ikan atau sayur. Meja minta dibesarkan dalam pembinaan akan datang. Kalau musim perayaan, meja tak muat nak letak ayam.

Artikel Berkaitan:

“Lagi pun sewa meja lot peniaga ayam RM200 sebulan berbanding lot jual ikan iaitu RM120 sebulan. Perkara lain kita minta MPK selenggara longkang kerana air banyak bertakung. Hal ini akan menyebabkan pembiakan nyamuk,” katanya.

Sementara itu, Ujang Ahmad, 58, yang sudah 30 tahun berniaga di situ berkata, lantai mozek di pasar itu rosak dan perlu diganti.

“Pasar ini beroperasi sejak 1972 sehingga kini. Lantai sudah mula pecah. Ada pelanggan pernah jatuh sebab licin dan mozek pecah,” katanya.

Ujang berkata, kejadian kecurian barangan dan pecah kenderaan pernah berlaku di kawasan parkir pasar besar tersebut, justeru beliau memohon MPK memasang kamera litar tertutup (CCTV).

Peniaga daging, Murad Abdullah, 49, berkata, beliau mengumpulkan lebih 100 tandatangan peniaga untuk menyerahkan satu surat permohonan kepada MPK mengenai permasalahan dihadapi peniaga.

“Kalau dapat diadakan sesi dialog secara terus dengan peniaga lagi baik. Banyak perkara nak diadukan kepada pihak atasan MPK.

“Perkara paling utama adalah persaingan pasar berdekatan yang menjejaskan pendapatan peniaga di sini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MPK, Datuk Hamiza Hamzah berkata, pertemuan dua hala dengan peniaga akan dilakukan mengikut fasa, bagi mengetahui keperluan dan permasalahan mereka.

Pada masa sama katanya, pertemuan itu akan memberikan pemahaman kepada peniaga berkenaan pelan komprehensif cadangan menaik taraf pasar tersebut.

“Purata pengunjung sebelum ini 1,000 orang sehari dan pasar ini menempatkan kira-kira 470 peniaga sesi pagi dan petang, manakala kira-kira 100 lot lagi masih kosong.

“Lot sayur ada kira-kira 30 kekosongan manakala lot gerai sekitar 38. Pengunjung berkurangan kerana persaingan,” katanya.

Adun Semambu, Sim Chon Siang berkata,tahap kebersihan dan fasiliti di Pasar Besar Kuantan amat rendah.

“Ini dapat dilihat dengan masalah tikus, lopak air, longkang tidak diselenggara dengan baik serta kipas dan lampu tidak berfungsi. Bahagian atas pula berlumut," katanya.

Terdahulu MPK diwakili Setiausaha, pengarah dan pegawai di pelbagai jabatan dengan kerjasama Pejabat Adun Teruntum melawat Pasar Pasar Kuantan bagi mengetahui permasalahan peniaga.