AS usir pelatih tentera Arab Saudi

Polis menutup sebuah bangunan susulan kejadian tembakan bulan lalu. - Foto AFP
Polis menutup sebuah bangunan susulan kejadian tembakan bulan lalu. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) akan mengusir sekurang-kurangnya 12 pelatih tentera Arab Saudi yang dituduh ekstremis dan mempunyai kaitan dengan pornografi kanak-kanak, susulan siasatan insiden tembakan melibatkan pegawai Saudi di Florida.

Bulan lalu, seorang pelajar Mohammed Alshamrani yang berada di Washington untuk program latihan ketenteraan Saudi melepaskan tembakan di sebuah kelas di Stesen Udara Tentera Laut Pensacola, mengorbankan tiga anggota dan mencederakan lapan lagi sebelum ditembak mati oleh polis.

Menurut laporan CNN, meskipun ramai pelatih tidak didakwa membantu Alshamrani, namun ada di antara mereka didapati mempunyai hubungan dengan gerakan ekstremis atau memiliki pornografi budak.

Siasatan yang dilakukan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) turut mendapati beberapa individu tidak melaporkan tingkah laku mengganggu penyerang sebelum serangan berlaku.

Pada pertengahan bulan lalu juga, Pentagon memaklumkan ia telah menjalankan pemeriksaan latar belakang ke atas semua anggota tentera Saudi yang sedang menjalani latihan di AS tetapi tidak menemui senario ancaman segera.

Kira-kira 5,000 anggota tentera antarabangsa menjalani latihan di AS termasuk sekitar 850 rakyat Saudi di semua cawangan. - AFP

Artikel Berkaitan: