Peka penularan jangkitan influenza

No Image Caption
A
A
A

JANGKITAN influenza dalam kalangan kanak-kanak sangat membimbangkan ibu bapa dan ia bukanlah isu yang boleh diambil mudah.

Ditambah pula berita mengenai kes jangkitan influenza kini semakin meningkat.

Ibu bapa yang mempunyai anak yang masih bayi sangat terkesan dengan berita mengenai peningkatan kes influenza tersebut.

Pelbagai cara dan kaedah terbaik dicari supaya anak-anak terhindar daripada jangkitan tersebut.

Influenza ialah jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Ia boleh berlaku dengan cepat dan berpotensi menyebabkan komplikasi yang lebih teruk. Virus influenza amat mudah berjangkit melalui titisan air dari mulut dan hidung.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jangkitan influenza di Malaysia masih terkawal dan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau trend aktiviti influenza mahupun kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan melalui sistem pelaporan sedia ada.

Dr Dzulkefly berkata, analisis semasa untuk trend influenza yang meliputi kadar konsultasi kes penyakit serupa influenza (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) menunjukkan ia masih merekodkan peningkatan.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak 52 peratus daripada kejadian wabak tersebut melibatkan institusi pendidikan seperti sekolah, tadika dan madrasah.

“Namun, kejadian itu tidak melibatkan penutupan mana-mana sekolah yang terlibat dan secara keseluruhannya kesemua wabak yang dilaporkan berada dalam keadaan terkawal,” katanya pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya meneliti perkembangan wabak influenza di semua institusi pendidikan khususnya di sekolah.

Melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah dengan kerjasama KKM, kementerian itu akan melakukan pemantauan yang berterusan susulan beberapa murid disahkan positif influenza A di sekolah di beberapa buah negeri.

Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan, mangsa perlu diasingkan dan berhubung dengan ibu bapa untuk dihantar pulang bagi mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.

“Ibu bapa diharap peka dengan kesihatan anak-anak dan tidak menghantar anak yang sakit ke sekolah.

“KPM memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas dan serius bagi memastikan kesihatan murid dan warga sekolah sentiasa terjamin,” jelas KPM.

Oleh itu, diharapkan ibu bapa peka dan mengambil tindakan sewajarnya dalam mengekang penularan jangkitan tersebut sekiranya anak-anak positif influenza.

Ini termasuklah di taska mahupun tadika. Jika anak tidak sihat dan mempunyai simptom selesema, elak hantar ke taska/tadika sebab ia boleh menjangkiti kanak-kanak lain.

Dalam pada itu, mereka dinasihatkan untuk elakkan memberi ubat-ubatan dalam kategori ubatan antiradang bukan steroid (NSAIDS) kepada anak-anak berusia bawah lima tahun bagi mengurangkan demam kerana terdapat bukti klinikal yang menunjukkan penggunaannya boleh meningkatkan risiko komplikasi jangkitan influenza seperti radang otak dalam kalangan kanak-kanak.

Oleh yang demikian, KKM menasihati agar pemberian ubat tersebut kepada kanak-kanak dielakkan dan jika terdapat keperluan, boleh mengambil ubat paracetamol mengikut dos yang tepat.

Jika demam panas berlarutan, segera dapatkan nasihat doktor di klinik atau hospital terdekat. Jangan berlengah lagi!

Sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan influenza ini, kita perlu sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

Apapun keadaannya, rujukan doktor atau pakar dalam bidang perubatan adalah perlu ketika ramai daripada kita hari ini menjadikan media sosial sebagai pakar rujuk utama.

Lebih malang lagi apabila sebahagian besar yang dirujuk di alam maya itu bukanlah tabib, jauh sekali doktor tetapi mereka hanya memeriahkan dinding Facebook untuk melariskan jualan pelbagai jenis produk kesihatan.

* Nurhafiza Hasan ialah Penolong Editor Sinar Harian