X

Kindly register in order to view this article
!

Keputusan Upin & Ipin tersenarai lima calon akhir Oscar diketahui esok

'Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal' terbitan Les' Copaque Production
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada filem animasi tempatan, ‘Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal’ terbitan Les' Copaque Production terpilih dalam senarai lima calon akhir bagi Anugerah Akademi atau lebih dikenali sebagai Oscar’s, akan diketahui esok.

Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata syarikat itu telah menghantar sendiri pencalonan ke anugerah filem paling berprestij di dunia itu ke Los Angeles, Amerika Syarikat bagi kategori filem animasi terbaik kerana hanya mempunyai waktu singkat iaitu enam hari sebelum tarikh tutup.

“Penganjur meminta sebanyak 300 keping cakera video digital (DVD) untuk diedarkan kepada juri. Sekiranya kami menghantar melalui pos, DVD mungkin akan sampai lambat yang sekali gus berisiko penyertaan ditolak.

“Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menerbangkan kakitangan syarikat ke Los Angeles bagi memastikan DVD itu sampai kepada pihak penganjur sebelum tarikh tutup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Filem animasi berkenaan mencatatkan sejarah apabila menjadi filem pertama negara bagi kategori berkenaan yang berjaya tersenarai sebagai 32 calon akhir daripada ratusan penyertaan yang diterima dari seluruh dunia.

Filem yang menelan belanja RM20 juta itu menampilkan kembar kegemaran Malaysia itu bersama karakter kisah Melayu tradisional, seperti Mat Jenin, Raja Bersiong, Nakhoda Ragam dan Si Tanggang dan mencatat kutipan RM26 juta ketika ditayangkan tahun lepas.

Sementara itu, Burhanuddin berkata, filem itu dihasilkan untuk pasaran global dengan dimasukkan orkestra, nilai dan budaya tempatan yang dilihat tidak ada dalam animasi lain.

“Sebab itu filem ini boleh diterima di luar negara dan akan ditayangkan di beberapa negara lain. Filem animasi itu juga telah ditayangkan di Indonesia, Filipina dan Vietnam dan sedang menunggu tarikh di China.

“Semuanya sudah rasmi dan bakal ditayangkan di 10,000 buah pawagam di negara berkenaan. Kita memperuntukkan RM6 juta untuk promosi di China dengan anggaran pulangan sebanyak RM2 bilion. Selain China, filem ini juga akan ditayangkan di Turki sedikit masa lagi. Setakat ini, 200 pawagam sudah memberi persetujuan untuk menayangkan Upin dan Ipin,” katanya.

Beliau berkata, animasi Malaysia sangat terkenal di ASEAN serta mempunyai potensi ke pasaran global, dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah melakukan tugas dengan baik apabila mula memberi fokus kepada animasi dan membantu banyak syarikat berkembang.

Mengenai perancangan seterusnya syarikat itu, Burhanuddin berkata, pihaknya merancang untuk membina taman tema seperti Disneyland tetapi konsepnya sudah pasti Upin dan Ipin dan persekitaran seperti dalam filem.

“Ia mempunyai dua jenis iaitu 'indoor' di Kuala Lumpur melibatkan pelaburan sebanyak RM60 juta dan lokasinya sudah dikenal pasti. Seterusnya kita merancang untuk membina taman tema konsep 'outdoor'.

“Yang ini melibatkan pelaburan berbilion ringgit. Mungkin pihak kerajaan ataupun agensi seperti MDEC boleh membantu kami mencari lokasi sesuai kerana sehingga kini belum dapat lokasi untuk taman tema 'outdoor' ini,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus