Laporan penuh bedah siasat Nora Anne diperoleh dalam masa terdekat

Nora Anne
Nora Anne
A
A
A

NILAI - Laporan lengkap bedah siasat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin akan diperoleh dalam masa terdekat, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada pasukan patologi sebelum pihak polis mengemukakannya kepada Pejabat Peguam Negara.

"Laporan penuh kita jangka dalam masa terdekat akan kita peroleh daripada (pasukan) patologi, lain-lain laporan tiada," katanya kepada Bernama selepas perasmian penutup Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Negeri Sembilan 2020 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Che Zakaria Othman dan Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar.

Katanya, berdasarkan laporan awal yang telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara, setakat ini kes berkenaan dikategorikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Nora Anne yang berusia 15 tahun bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di Resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat sini pada 3 Ogos tahun lepas, sebelum dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 kilometer dari resort itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Artikel Berkaitan: