Banjir kilat berlarutan sejak 24 tahun akan diatasi

Maszlee (duduk, tiga kiri) selepas melakukan perjumpaan bersama ketua-ketua kampung di Parlimen Simpang Renggam.
Maszlee (duduk, tiga kiri) selepas melakukan perjumpaan bersama ketua-ketua kampung di Parlimen Simpang Renggam.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM – Masalah banjir kilat di Kampung Kolam Air, di sini, yang telah berlarutan hampir 24 tahun akan diatasi segera oleh Pejabat Parlimen Simpang Renggam dan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, agensi kerajaan yang terlibat ialah Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Pejabat Daerah Kluang, Pejabat Tanah Kluang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Salah satu caranya, MDSR sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab di kawasan ini bersama pentadbiran daerah akan membangunkan parit utiliti bandar bagi memastikan aliran air dapat disalurkan dengan lebih lancar lagi.

“Sekarang ini, parit-parit di kawasan Kampung Kolam Air ini merupakan parit tanah biasa sahaja yang tidak boleh menampung jumlah air yang banyak sekiranya hujan lebat dan ini merupakan salah satu faktor banjir di kawasan ini,” katanya.

Maszlee yang juga Menteri Pendidikan berkata kepada pemberita selepas melakukan pertemuan bersama Ahli-Ahli Majlis MDSR dan ketua-ketua kampung di Parlimen Simpang Renggam, di pejabatnya, kelmarin.

Turut hadir, Yang Dipertua MDSR, Mohd Syukri Abd Rahim; Penghulu Mukim Machap, Ahmad Farhan Abu Bakar; Penghulu Mukim Renggam, Mohd Asmi Mislan dan Penghulu Mukim Ulu Benut, Musa Marzuki.

Menurutnya, selain itu, penglibatan pakar-pakar akademik daripada universiti awam tempatan seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga akan membantu menyelesaikan beberapa masalah lain di kawasan ini mengikut bidang kepakaran mereka.

“Ini adalah selari dengan konsep ‘Universiti Untuk Masyarakat’ iaitu universiti membantu menyelesaikan masalah masyarakat dan seperti UTHM ini mereka banyak melakukan penyelidikan dan khidmat masyarakat untuk komuniti sekeliling mereka.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, seperti di Simpang Renggam ini, kepakaran penyelidik dari UTHM ini digunakan untuk membantu menyelesaikan masalah isu sampah di kawasan CEP Renggam dan masalah pencemaran air di sini,” katanya.

Pada masa sama, isu jalan yang menjadi penghalang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tun Dr Ismail, di sini, juga telah diselesaikan dan hanya menunggu keizinan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kluang untuk digunakan.

Menurutnya, selain SJKT Ladang Tun Dr Ismail, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machap yang telah siap dibina sepenuhnya dijangka akan memulakan operasinya selepas sambutan Tahun Baharu Cina akan datang.