30 kes Chikungunya di Perak dalam tempoh lapan hari

Dr Ding Lay Ming
Dr Ding Lay Ming
A
A
A

IPOH - Sebanyak 30 kes chikungunya direkodkan berlaku di Perak dalam tempoh lapan hari pertama tahun ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, semua kes berkenaan membabitkan 17 lokaliti wabak yang masih aktif dengan enam daripadanya dalam daerah Batang Padang, Larut Matang Selama (lima), Kampar dan Kuala Kangsar masing-masing tiga lokaliti.

"Hasil pemeriksaan di semua lokaliti wabak aktif terbabit mendapati punca utama kejadian demam chikungunya adalah kerana indeks pembiakan aedes yang tinggi.

"Bagaimanapun sehingga kini, tiada kematian dilaporkan berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara lokasi wabak bagi daerah Batang Padang iaitu Pekan Temoh, Pekan Tapah, Pekan Tapah Road, Kampung Baru Chenderiang, Kampung Baru Coldstream dan Taman Megah Bidor, bagi daerah Larut Matang dan Selama (Pokok Assam Zon 2, Taman Assamara, Taman Juta, Taman Lela dan Kampung Assam Kumbang) dan di Kampar (KB Kopisan, Estat Hong Chan dan KB Malim Nawar), manakala daerah Kuala Kangsar (Taman Tun Sambanthan A, Taman Tun Sambanthan B dan Taman Tun Sambanthan C).

Beliau dalam masa sama turut menafikan kes chikungunya yang didakwa berlaku di Kampung Padang Asam, Padang Rengas, Kuala Kangsar seperti ditularkan di media sosial baru-baru ini,.

Beliau berkata, bermula Februari 2019 sehingga kini, pihak jabatan dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terlibat telah melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung kejadian demam chikungunya antaranya pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan (PTP) di premis–premis persendirian, perniagaan dan tanah lapang.

Katanya sehingga kini, 33,044 premis telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut sebanyak 661 premis didapati positif dengan pembiakan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan di mana 163 kompaun dan 67 notis pembersihan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 telah dikeluarkan terhadap pemilik premis yang membiak aedes," katanya.

Sepanjang tahun lalu, sejumlah 635 kes chikungunya telah dilaporkan di Perak dengan 60 lokaliti wabak dilaporkan dalam tempoh tersebut.