Isu air Selangor selesai hasil semangat Malaysia Baharu: MB

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyelesaian muktamad yang dicapai membabitkan isu air di Selangor diakui hasil daripada semangat Malaysia Baharu serta manfaat keakraban di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pertukaran kerajaan persekutuan pada PRU14 jelas membuktikan iltizam dan tahap profesionalisme pentadbiran awam apabila berjaya memuktamadkan perjanjian air yang sebelum ini berlanjutan hampir 10 tahun akibat 'kedegilan' politik.

"Kita lihat kepada penyelesaian isu air yang tertangguh sejak 2006 gagal diselesaikan dan selepas pertukaran kerajaan ada komitmen yang jelas daripada kedua-dua pihak, akhirnya kita dapat melunaskan.

"Pada 4 Januari lepas kita telah menandatangani perubahan perjanjian kali ketiga dan itu dikatakan perjanjian terakhir melibatkan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri serta semua syarikat berkenaan.

"Itu membuktikan bahawa kerja yang boleh dilunaskan dalam tempoh sebulan tertangguh hampir 10 tahun disebabkan beberapa 'kedegilan' kedua-dua pihak. Sebab itu saya percaya keakraban ini (kerajaan pusat dan negeri) membawa lebih manfaat kepada rakyat terutamanya, dan kepada pengurusan pentadbiran kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam program Bicara Politikonomi bertajuk 'Hala Tuju Selangor 2019; Maju Bersama' secara langsung di RTM, malam tadi.

Menurutnya, apa yang lebih penting bagi kerajaan PH hari ini adalah mempertahankan profesionalisme pengurusan dan pentadbiran awam, selagi mana profesionalisme itu dapat dipertahankan.

Memetik isu air di Selangor sebagai contoh, Amirudin menjelaskan, kerajaan PH perlu belajar daripada pengalaman lepas di mana ia perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam pengurusan pentadbiran kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebagai contoh, apabila kerajaan negeri ingin mengambil ambil alih Splash dan membuat satu kajian bebas, kerajaan persekutuan ketika itu juga menetapkan untuk turut berbuat perkara sama.

"Apabila masa untuk dedahkan keputusan kajian, masing-masing mahu pihak lawan dedahkan dahulu keputusan kajian disebabkan wujud kecurigaan politik antara satu sama lain. Dan waktu itu juga ada pihak yang ambil peluang politik untuk memanjangkan lagi perkara ini.

"Saya boleh faham kedudukan menteri besar sebelum ini di mana jika beliau dedahkan keputusan, kerajaan persekutuan akan kata ini adalah keputusan negeri sedangkan ia adalah satu penemuan bebas.

"Jadi selepas pertukaran kerajaan, kita duduk bersama dan bila kita bandingkan kedua-dua keputusan ternyata angkanya tidak banyak berbeza," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin memberi jaminan bahawa rakyat Selangor akan melihat dan menikmati manfaat pengurusan air yang lebih kompeten pasca 4 Januari lalu, setelah hampir 10 tahun isu air Selangor berlarutan.

Katanya, Selepas 4 Januari, pengurusan air di Selangor terletak di bawah Syarikat Air Selangor dan ia milik penuh kerajaan negeri.

"Jika sebelum ini ia terpisah kepada empat komponen (entiti) dan ia mengakibatkan kos yang berlainan dan agak tinggi, jadi sekarang kita selaraskan untuk manfaat rakyat," katanya.