Bawa kad mengundi, semak awal maklumat pengundian

 Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilih yang bakal menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis diingatkan membawa kad mengundi dan membuat semakan awal maklumat pengundian bagi melancarkan proses pada hari mengundi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, mereka yang membawa kad pengundi dan mengetahui maklumat pengundian boleh terus ke saluran mengundi tanpa perlu membuat semakan di barung SPR.

Azhar Azizan berkata, pengundi juga diingatkan membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada kerani pengundian pertama (KP1) di saluran pada hari pengundian.

"Kad pengundi atau catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut katanya, bagi pengundi yang tidak menerima kad mengundi, mereka boleh membuat semakan maklumat pengundian lebih awal sebelum hari pengundian dan disaran untuk mencatat serta menyimpan maklumat berkenaan pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

"Semakan boleh dibuat melalui saluran-saluran berikut iaitu portal semakan pemilih iaitu https://pengundi.spr.gov.my; hotline SPR di talian 03-88927918; aplikasi MySPR Semak atau SMS ke 15888," katanya.

PRK Kimanis yang dijadualkan berlangsung pada 18 Januari ini menyaksikan pertembungan antara calon (Parti Warisan Sabah), Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional, Datuk Mohamad Alamin.

PRK Kimanis berlangsung setelah Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebagai tidak sah dan terbatal.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.