Kosmetik seludup bernilai RM42,000 dirampas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PASIR MAS - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya merampas sebuah van yang sarat dengan muatan pelbagai barangan kosmetik bernilai lebih RM42,000 dipercayai diseludup dari negara jiran dalam satu operasi berhampiran sebuah pangkalan haram Kedap di sini petang semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian jam 5.15 petang itu, pasukannya yang membuat rondaan mengesan sebuah van berwarna hitam keluar daripada pangkalan haram dan menuju ke arah pekan Rantau Panjang.

Menurutnya, pemandu van tersebut yang kemudiannya menyedari diekori pihak berkuasa bertindak memberhentikan van tersebut di Jeram Perdah sebelum melarikan diri ke arah sempadan negara jiran.

"Pemeriksaan yang dijalankan ke atas van itu menemui pelbagai jenis barangan kosmetik dipercayai buatan negara jiran seperti 120 botol krim pelembap vitamin C, kapsul ubat pemutih (200 botol) dan krim pelembap (736 botol)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua barangan bersama kenderaan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan serta siasatan lanjut pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

"Hasil maklumat risikan mendapati kesemua barangan dirampas adalah stok barangan kosmetik yang diseludup daripada negara jiran untuk pasaran tempatan.

"Kes ini diserahkan kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: