Cuba tikam leher sendiri selepas rempuh meja restoran

Keadaan kereta yang merempuh meja makan di sebuah restoran di Taman Desa Harmoni pagi tadi.
Keadaan kereta yang merempuh meja makan di sebuah restoran di Taman Desa Harmoni pagi tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu kereta cuba menikam lehernya menggunakan pemutar skru selepas merempuh seorang pelanggan yang berada di meja makan sebuah restoran di Taman Desa Harmoni di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, anggota bomba terpaksa memujuk pemandu kereta berkenaan yang berusia 40 tahun agar tidak mencederakan dirinya.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Sufian Mohd Lis berkata, lapan anggota bersama sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Johor Jaya ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.57 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Almera melanggar seorang lelaki berusia 46 tahun yang berada di meja makan sebuah restoran.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera patah kaki kanan.

"Pemandu kereta pula mengalami kecederaan ringan telah keluar namun dia kembali ke dalam kereta serta cuba menikam lehernya dengan pemutar skru.

"Anggota bomba di lokasi kejadian telah bertindak memujuk pemandu kereta tersebut. Pemandu itu kemudiannya menyerah diri kepada polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sufian berkata, mangsa yang cedera dikenali sebagai Lim Joo Heng dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.

Artikel Berkaitan:

"Identiti pemandu belum dikenal pasti. Operasi ditamatkan jam 5.23 pagi tadi," katanya.