X

Kindly register in order to view this article
!

Bersatu Perlis bergolak?

Izizam (tengah) pada sidang media, semalam.
A
A

KANGAR - Pengerusi Bersatu Perlis, Ameir Hassan didesak meletakkan jawatan oleh hampir keseluruhan kepemimpinan bahagian, cawangan dan sayap parti itu.

Timbalan Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim berkata, mereka sebulat suara menyatakan sudah hilang kepercayaan kepada Ameir selain menyifatkan beliau gagal menguruskan parti dengan baik.

Menurutnya, pihaknya mahu kepimpinan tertinggi Bersatu segera campur tangan dalam isu ini termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap Ameir.

“Segala masalah yang berlaku dalam parti berpunca daripada Ameir yang gagal mentadbir dengan baik selain menjadikan parti seolah-olah hak miliknya,” katanya, pada sidang media, semalam.

Hadir sama, Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Kangar, Datuk Azizan Hasyim; Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Arau, Maton Din; Ketua Armada Perlis, Shazwan Fahmi Badrul Sham serta pemimpin peringkat cawangan.

Izizam berkata, semua tiga bahagian Bersatu di negeri ini, iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar telah lama menolak beliau, namun perkara itu tidak dihebahkan kepada umum.

“Hampir separuh ahli jawatankuasa Bahagian Arau yang juga kawasan Amier sendiri menandatangani petisyen mohon Majlis Pimpinan Pusat menggantikan Ameir dengan pemimpin lain yang lebih kredibiliti,” katanya.

Menurutnya, Bahagian Kangar dan Padang Besar juga telah menghantar memorandum dan aduan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi mengenai kewajaran Ameir yang juga Pengerusi PH Perlis ditukarkan.

“Antara kelemahan beliau adalah tidak boleh melihat orang lain lebih kehadapan dan berasa terancam. Malah menjadikan parti seolah-olah milik keluarga dan rakannya, dengan melantik kalangan ahli keluarga, kenalan rapat sebagai ahli jawatankuasa peringkat bahagian atau negeri,” katanya.

Izizam berkata, Ameir juga didakwa sering mengambil tindakan tanpa melalui mesyuarat yang sah dan tanpa melibatkan keseluruhan ahli jawatankuasa sama ada negeri atau bahagian ketika membuat keputusan.

“Antaranya, keputusan mesyuarat PH Perlis dipengerusikan beliau memutuskan menolak calon Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tetapi pada masa sama menghantar borang pencalonan MPKK melibatkan orang beliau kepada kementerian,” katanya.

Izizam yang juga Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar berkata, pihaknya yakin masalah berbangkit selama ini bukan disebabkan parti sebaliknya berpunca daripada kegagalan Ameir.

“Kami mohon Majlis Pimpinan Tertinggi segera ambil tindakan bubarkan kepimpinan negeri dan Bahagian Arau, seterusnya melantik Wan Saiful Wan Jan sebagai penyelaras untuk menyusun semula parti di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, Wan Saiful yang sebelum ini dilantik sebagai Setiausaha Bersatu Perlis dilihat mmapu bekerja dengan semua pihak dan tidak memihak kepada sesiapa.

“Mungkin kehadiran Wan Saiful yang diterima semua peringkat dianggap sebagai ancaman oleh Amier,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus