'Fahamkan konsep kebebasan, tiada paksaan beragama'

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

SHAH ALAM - Konsep kebebasan atau tiada paksaan dalam agama itu mempunyai tafsiran yang luas dan perlu difahami sepenuhnya oleh semua pihak sama ada beragama Islam atau tidak.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, menurut perspektif Islam, ia bermaksud tiada paksaan bagi seseorang yang bukan Islam sama ada mereka mahu menganuti agama Islam, kekal dalam agama mereka atau memilih untuk menganuti agama lain.

Menurutnya, namun itu tidak bermakna orang Islam pula sewenang-wenangnya boleh keluar Islam atau murtad.

Beliau berkata, bagi yang ada keinginan untuk memeluk Islam mereka perlu berfikir panjang sebelum mengucap dua kalimah syahadah agar tidak timbul isu paksaan.

"Tetapi apabila seseorang itu sudah masuk Islam, mereka kenalah jaga reputasi dan imej Islam..ia ibarat kalau kita masuk pertubuhan politik mesti kena jaga dan ikut peraturan ditetapkan dan kalau buat kesalahan sudah tentu akan dikenakan tindakan.

"Begitu juga, kalau seseorang itu keluar Islam, kena lihat sebab apa dia nak tinggalkan agama Islam, adakah kerana tidak yakin dengan Islam atau apa?

"Ada ulama kata jika dia tidak yakin biarlah dia keluar Islam tetapi jangan sesekali keluar kerana ada niat untuk memburukkan imej atau merosakkan agama Islam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tegasnya, jika seseorang itu memang berniat untuk merosakkan nama baik agama Islam, maka kerajaan yang memerintah berhak mengambil tindakan ke atas individu terlibat bagi menjaga nama baik Islam yang menurut Perlembagaan adalah agama bagi Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan G25 dakwa penubuhan MKI dan Jakim tidak ikut Perlembagaan

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan bekas penjawat awam (G25), Asiah Abu Samah ketika membentangkan kertas laporan bertajuk Administration of Matters Pertaining to Islam membidas undang-undang yang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan, selain mengatakan undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

Katanya, tiada mana-mana orang boleh dipaksa kekal dalam Islam dan jika mahu meninggalkan agama itu ia adalah urusan individu tersebut dengan Tuhan dan tiada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam al-Quran.

Selain itu, mengulas mengenai kenyataan Asiah berkaitan tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat Jumaat yang dikatakan tidak wajar, Wan Salim berkata, sudah menjadi kewajipan kerajaan untuk memelihara nama baik Islam termasuklah mengambil tindakan ke atas individu yang meringankan kewajipan solat.

"Bagaimanapun ia bergantung kepada budi bicara kerajaan tindakan bagaimana yang hendak diambil termasuk tindakan ringan atau berat.

"Terpulang kepada mereka kerana dalam Islam hanya mencela orang yang meninggalkan solat dan menjanjikan seksaan di akhirat kelak tetapi di dunia tidak menentukan apa-apa tindakan," katanya.

Dalam pada itu, Wan Salim juga tidak bersetuju dengan dakwaan G25 melalui laporan itu yang mengatakan penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mengikut Perlembagaan.

Menurutnya, tujuan penubuhan Jakim, MKI atau institusi-institusi Islam ini adalah bagi melaksanakan agenda keislaman secara teratur kerana dalam agama Islam terdapat kepelbagaian mazhab atau pemikiran.

"Kalau kita tak buat peraturan akan menyebabkan umat Islam bercelaru.

"Jadi kerajaan buat satu cara agar segala pemikiran-pemikiran yang pelbagai ini diselaraskan dengan cara harmoni melalui peranan dimainkan oleh Jakim, MKI atau institusi-institusi Islam lain," katanya.