X

Kindly register in order to view this article
!

Antara kemahuan dan diskriminasi

GOLONGAN wanita merupakan penggerak dan sokongan utama dalam sesebuah parti politik.
A
A

Malaysia tiada perubahan, lelaki masih dominasi jawatan peringkat tertinggi

SIRI 1

MANTAN Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri pernah menzahirkan bahawa golongan wanita hebat diperlukan bagi memastikan negara republik tersebut maju.

Namun begitu, matlamat berkenaan sukar untuk dicapai sekiranya jumlah penglibatan wanita dalam gelanggang politik di negara itu dilihat lebih rendah berbanding golongan lelaki.

Beliau yang merupakan Ketua Dewan Pengarah Badan Pembinaan Ideologi Pancasila turut meluahkan, sebahagian besar wanita pada zaman modeninasi hari ini berpendidikan tinggi, bijak dan berfikiran kritis, tetapi enggan untuk berada di barisan pemimpin negara.

"Perempuan jangan takut masuk ke dunia politik kerana wanita hebat diperlukan untuk Indonesia maju. Ramai wanita terbaik hari ini, namun saya berasa kesepian (dalam dunia politik).

"Majoriti masih dengan persepsi tabu bahawa pentas politik merupakan tempat untuk golongan lelaki beraksi," tutur Megawati pada Hari Ibu BPIP di Jakarta, Indonesia pada Disember tahun lalu.

Bicara Megawati seperti dipetik menerusi Antara, konstitusi di negaranya sedikitpun tidak membezakan antara lelaki dan wanita. Kedudukan dua gender sama rata. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri dalam membangunkan negara.

Itu antara cebisan senario politik yang berlaku dalam kalangan wanita di negara jiran kita. Bagaimana pula kisahnya penglibatan dan penerimaan wanita Malaysia dalam arena politik tempatan?

MEGAWATI menyarankan golongan wanita jangan takut untuk melibatkan diri dalam gelanggang politik demi pembangunan Indonesia. Foto: Ihsan detik.com
MEGAWATI menyarankan golongan wanita jangan takut untuk melibatkan diri dalam gelanggang politik demi pembangunan Indonesia. Foto: Ihsan detik.com

Menjawab persoalan itu, Felo Akademi Sains Malaysia merangkap penganalisis politik, Dr Madeline Berma berkata, realiti politik Malaysia menyaksikan kesamarataan penglibatan wanita dan lelaki.

"Namun begitu, lelaki dilihat lebih mendominasi apabila kebanyakan jawatan peringkat tertinggi dalam sesebuah parti ataupun Kabinet dipertanggungjawabkan kepada mereka.

"Walhal, jika diperhalusi di peringkat akar umbi, kedua-duanya adalah sama rata," katanya ketika dihubungi Femina baru-baru ini.

Dalam isu tersebut, beliau membuat perbandingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional ketika memerintah negara.

Kerajaan PH katanya, menunjukkan lebih ramai wanita berada di peringkat atasan khususnya yang dilantik sebagai menteri.

"Perlu difahami secara jelas, terdapat beberapa komponen utama yang menyebabkan kurangnya wanita terlibat secara aktif dalam politik Malaysia.

"Situasi tersebut bukan disebabkan kurangnya keyakinan diri atau bimbang diperlekehkan golongan lelaki, sebaliknya berpunca daripada struktur organisasi yang tidak mesra wanita," jelas beliau.

Mengulas lanjut, Madeline menyifatkan, sehingga kini struktur organisasi negara bagaikan tidak membenarkan wanita ke depan.

" Perjuangan mereka seolah-olah terhenti pada tahap yang telah ditetapkan berbanding mempamerkan kebolehan yang dimiliki di peringkat tertinggi.

"Lagipun penetapan syarat-syarat tertentu untuk melayakkan seseorang itu berada di barisan atas secara tidak langsung menyebabkan kebanyakan wanita berfikir dua kali sama ada meneruskan perjuangan sebagai ahli politik atau orang biasa sahaja," katanya.

Situasi berkenaan juga kata Madeline, memberi kesan lebih-lebih lagi kepada mereka yang telah mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata.

"Keseimbangan masa antara keluarga, politik, parti dan masyarakat semuanya perlu disusun dengan baik. Namun, lain pula ceritanya apabila sesetengah wanita telah diberi peluang menjawat jawatan tertinggi tetapi menolak dengan alasan kononnya selesa berada di kedudukan kedua, ketiga atau sedia ada.

"Situasi seumpama itu bukan sahaja berlaku dalam politik, bahkan turut melibatkan pengurusan pentadbiran pejabat sehingga kadangkala mereka dipaksa agar menerima peluang keemasan itu," jelasnya.

Tegasnya, rakyat tidak boleh menidakkan keupayaan wanita kerana golongan itu memiliki 'kebijaksanaan' tersendiri terutamanya dalam melaksanakan aktiviti turun padang seperti menyalurkan misi bantuan dan bertemu masyarakat serta menjayakan kempen pilihan raya.

PENGANALISIS politik berharap Malaysia bakal mempunyai perdana menteri dalam kalangan wanita seperti negara Finland dan New Zealand.
PENGANALISIS politik berharap Malaysia bakal mempunyai perdana menteri dalam kalangan wanita seperti negara Finland dan New Zealand.

"Berbekalkan sifat keibuan dan personaliti yang baik, wanita mampu memikat, sekali gus menambat hati para pengundi," katanya.

Persepsi sosiobudaya

Sementara itu, penganalisis politik dan pakar sejarah, Prof Datuk Ramlah Adam mempunyai perspektif tersendiri berhubung isu yang dibincangkan.

Ditebak soalan mengapa kaum Adam lebih diberi kepercayaan dan menyerlah dalam politik, beliau memberitahu, perkara tersebut dipengaruhi oleh sosiobudaya negara ini.

"Agama Islam misalnya, mengutamakan lelaki dalam segala aspek seperti nabi, rasul, khalifah dan imam, maka jelas bahawa kepimpinan cenderung memihak lelaki.

"Namun begitu, ini tidak bermakna Islam mendiskriminasikan wanita, tetapi golongan berkenaan lebih wajar dimanjakan, dibelai, disayangi dan dihormati. Bukannya dibuli atau dicederakan," ulas beliau ketika dihubungi Femina.

Ramlah turut menjelaskan, meskipun wanita layak bergelar pemimpin, tetapi dalam konteks negara dan persepsi, keyakinan dan kepercayaan rakyat lebih utuh kepada pentadbiran yang dipimpin oleh pemimpin lelaki.

"Namun, siapa tahu, pada masa hadapan, Malaysia bakal mempunyai pemimpin dalam kalangan wanita sekali gus mengikut jejak langkah negara-negara lain yang berani melakukan transisi. Sebenarnya, Malaysia merupakan antara negara yang masih pada graf sama mengekalkan kaum Adam sebagai pemimpin utama," kata Ramlah.

Kepada satu soalan, beliau turut menolak tanggapan bahawa penyertaan wanita kurang dalam politik kerana bimbang diugut dan dicederakan.

"Politik Malaysia masih aman dan stabil. Justeru, tidak timbul isu ahli politik wanita bakal disakiti," katanya sambil menegaskan penglibatan wanita dalam politik amat diperlukan kerana golongan itu mampu membantu sesebuah negara mempertingkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.