Teknologi baharu bekal elektrik, air di Sarawak

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KANOWIT - Kerajaan Sarawak meminta Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) menggunakan teknologi baharu bagi membekalkan elektrik dan air kepada rakyat negeri itu khususnya di kawasan luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi memastikan agenda untuk menyediakan liputan 100 peratus bekalan elektrik dan air bersih terawat di negeri itu tercapai menjelang tahun 2025.

“Untuk itu, kita (kerajaan) akan beri peruntukan tambahan supaya SEB dan JBALB dapat mengkaji penggunaan teknologi tersebut.

“Saya yakin ini dapat dilaksanakan dan saya akan cari dana untuk tujuan tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Projek Utiliti Rakyat Kanowit, sebuah substesyen elektrik berkapasiti 132kV yang bernilai RM106 juta di sini hari ini.

Projek itu akan memberi manfaat bekalan elektrik 24 jam kepada sejumlah 146 kampung melibatkan 2,632 isi rumah di kawasan sekitar Kanowit.

Bagi elektrik, Abang Johari berkata, teknologi yang dimaksudkan adalah sistem solar terapung yang boleh ditempatkan di empangan-empangan yang ada di Sarawak bagi menjana kuasa elektrik.

Teknologi yang sudah digunakan di China itu dijangka mula dibangunkan pada 2021 di Empangan Elektrik Hidro Batang Ai yang mampu menjana 30 hingga 50 megawatt kuasa elektrik dan disambungkan kepada grid elektrik di negeri itu.

Bagi air pula, teknologi osmosis berbalik akan digunakan untuk merawat air dari sungai bagi membekalkan air terawat yang bersih kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.3 bilion untuk tahun 2019 dan 2020 bagi melaksanakan projek serta inisiatif di bawah strategi bekalan elektrik yang bertujuan mempertingkatkan liputan bekalan elektrik bagi penduduk luar bandar daripada 91 peratus pada tahun 2018 kepada 97 peratus pada penghujung tahun ini.

Sebanyak RM2.8 bilion diperuntukkan bagi program Grid Bekalan Air Sarawak Fasa Pertama untuk pelaksanaan projek-projek yang membabitkan sumber air mentah, loji rawatan, sistem agihan, kerja menambah baik, penukaran paip, serta inisiatif pemodenan dan bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS).

Sebanyak 322 projek bekalan air itu berada di pelbagai peringkat pelaksanaan di seluruh Sarawak dan kesemuanya dijangka siap menjelang tahun hadapan. - Bernama