Dua bayi hidap masalah jantung perlukan RM160,000

Sui Hui (kiri) melihat keadaan Muhammad Hariz yang perlu menggunakan mesin bantuan penafasan setiap masa.
Sui Hui (kiri) melihat keadaan Muhammad Hariz yang perlu menggunakan mesin bantuan penafasan setiap masa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Ketika bayi seusia mereka membesar dalam keadaan sihat dan ceria, namun nasib berbeza menimpa dua bayi dari Kedah ini yang menghidap masalah jantung.

Penderitaan terpaksa ditanggung Muhammad Hariz Haikal Mohd Fikri Hafiz yang kini berusia satu tahun tiga bulan dan Nur Annira Tasnim Anuar yang baru berusia sembilan bulan.

Muhammad Hariz Haikal anak kepada pasangan Mohd Fikri Hafiz Shahrol Azam dan Nurul Emalina Zawawi masing-masing berusia 25 tahun berkata, masalah yang dialami anak sulung disedari doktor apabila denyutan jantung bayi itu tiba-tiba turun dan menyebabkan seluruh anggota badan menjadi kebiruan berikutan kekurangan oksigen ketika dilahirkan.

Mohd Fikri berkata, belum sempat dia dan isterinya melihat anak yang dilahirkan itu, Muhammad Hariz terus dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sehari selepas dilahirkan.

"Pemeriksaan yang dijalankan di HPP mendapati Muhammad Hariz mengalami ‘sindrom noonan’ dan kecacatan pada jantung yang menyebabkan keadaan jantungnya tidak normal yang mana dua saluran injapnya sempit dan perlu dibedah.

"Selepas 11 hari dia berada di wad, kami terus diuji apabila paru-paru Muhammad Hariz pula dijangkiti kuman dan dia diberikan antibiotik sehingga usianya 43 hari sebelum doktor melaksanakan pembedahan pertama memasang alat untuk membesarkan saluran injap jantungnya," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Pusat Kebajikan One Hope di sini petang tadi.

Mohd Fikri yang menetap di Changloon berkata, selepas pembedahan itu, Muhammad Hariz perlu makan 10 jenis ubat-ubatan setiap hari dan bernafas bergantung kepada bantuan mesin pernafasan.

Selain itu, dia juga perlu berulang - alik ke HSB dan HPP pada setiap bulan untuk rawatan susulan.

Artikel Berkaitan:

Dugaan terus terus menimpa pasangan berkenaan apabila doktor yang membuat pemeriksaan di HPP memberitahu bahawa alat yang dipasang untuk membesarkan injap jantung Muhammad Hariz sudah rosak dan perlu menjalani pembedahan masalah saluran injap jantung tersumbat (TOF) untuk menyelamatkan nyawanya.

Sui Hui (tengah) memberikan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada keluarga kedua-dua bayi yang menglami masalah jantung.
Sui Hui (tengah) memberikan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada keluarga kedua-dua bayi yang menglami masalah jantung.

Mohd Fikri yang sebelum ini bekerja di sebuah kedai makan terpaksa berhenti kerja untuk mengambil tugas menjaga anaknya manakala isterinya bekerja sebagai promoter kedai barangan memancing memperoleh pendapatan bulanan sekitar RM1,600.

Pasangan ini menyewa sebuah rumah dengan bayaran RM400 sebulan dan membeli sebuah kereta terpakai untuk kegunaan ulang- alik membawa anak mereka mendapatkan rawatan susulan.

Sementara itu,bagi Nur Annira pula dia dikesan mengalami masalah jantung berlubang ketika usianya tujuh bulan.

Pada ketika itu, dia mengalami simptom demam yang tidak surut selama dua bulan sebelum ibu bapanya, Anuar Ramli, 39, dan Rohaya Muhamad, 33, membawanya membuat pemeriksaan ke sebuah klinik.

Doktor memaklumkan terdapat jangkitan kuman pada paru-paru Nur Annira dan bayi itu perlu dibawa ke HSB untuk tindakan lanjut.

Anuar berkata, ketika usia kandungan isterinya berusia lima bulan dia mengalami demam campak, namun ia bukan menjadi punca kepada penyakit yang dihidap Nur Annira.

"Nur Annira menjalani pelbagai ujian dan didapati terdapat masalah jantung berlubang yang memerlukan pembedahan segera dijalankan," katanya.

Anuar yang hanya bekerja sebagai nelayan memperoleh pendapatan sekitar RM1,400 dicampur dengan Bantuan Sara Hidup Nelayan (BSHN) manakala isterinya hanya suri rumah.

Kos pembedahan yang terlalu tinggi menyebabkan kedua-dua pasangan suami isteri ini tidak mampu membiayainya dan datang meminta bantuan kepada badan kebajikan One Hope.

Pengerusi One Hope, Chua Sui Hui berkata, pembedahan kedua-dua bayi berkenaan akan dibuat di Pusat Perubatan Gleaneagles (GMC) dengan kos membabitkan RM160,000.

Katanya, One Hope telah melancarkan tabung kepada dua bayi berkenaan bagi mengumpulkan dana supaya kedua-dua bayi terbabit boleh menjalani pembedahan dalam kadar segera.

Orang ramai yang prihatin terhadap nasib bayi ini dan ingin menyalurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Public Bank Berhad One Hope Charity and Welfare Berhad bernombor 3193 433 435.