Dua warga Bangladesh maut dipercayai terhidu gas beracun

No Image Caption
A
A
A

SIBU – Dua warga asing maut, dipercayai terhidu gas beracun ketika sedang membaiki kapal penunda di sebuah limbungan di Estet Pembinaan Kapal Rantau Panjang di sini lewat petang ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu mereka yang meninggal dunia dikenali sebagai Aktar dan Maznu, kedua-duanya dari Bangladesh.

Seorang lagi rakan senegara mereka, Rone Mattdor dan dua pekerja dari Indonesia Shahrir Ramadan dan Awaludin ditemui pengsan oleh sepasukan lapan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Sungai Merah serta tiga anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sibu yang dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan pada 6.28 petang.

Anggota-anggota bomba yang menggunakan alat pernafasan mengeluarkan mangsa dari bahagian dalam kapal tersebut dengan menggunakan tali turut menemui dua lagi warga Indonesia, Muhamad Yakub dan Tambil Hamzah dalam keadaan sedar.

Kesemua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat tamat pada 7.40 petang.- Bernama

Artikel Berkaitan: