Lelaki lemas ketika memancing

Mayat mangsa lemas ditemui selepas lebih 12 jam dilaporkan hilang - Foto Ihsan Bomba
Mayat mangsa lemas ditemui selepas lebih 12 jam dilaporkan hilang - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

JEMPOL - Mayat seorang lelaki yang dilaporkan lemas ketika memancing di Sungai Rompin, Bahau di sini ditemukan pada jam 3.15 petang tadi.

Mayat S Palanisamy, 48, ditemukan pasukan penyelamat bomba kira-kira 50 meter dari lokasinya disyaki hilang.

Ketua Pasukan Bomba Zon 3 Negeri Sembilan, Penguasa Bomba Mohd Hafiz Mohd Sharif berkata, bomba menerima maklumat kejadian mangsa lemas daripada pihak polis pada jam 9.46 malam tadi.

No Image Caption

"Difahamkan mangsa lemas ketika keluar memancing seorang diri di sungai terbabit pada jam 11 pagi semalam.

"Keluarga mangsa dan penduduk kampung telah cuba mencari mangsa di lokasi selepas mangsa didapati tidak pulang ke rumah sehingga jam 8 malam tetapi tidak jumpa sebelum laporan polis dibuat.

"Jadi kita telah ke lokasi untuk memulakan operasi pencarian termasuk menggunakan PPDA (Pasukan Penyelamat Di Air) namun terpaksa tangguhkan operasi jam 1 pagi tadi kerana keadaan gelap," katanya.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, operasi pencarian diteruskan jam 8 pagi tadi dengan melibatkan keanggotaan seramai 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau dan PPDA Sri Jempol serta Teluk Kemang.

Beliau berkata, mayat mangsa yang masih berpakaian lengkap ditemui tenggelam di dalam sungai dan ahli keluarganya telah membuat pengesahan.

"Berhampiran lokasinya ditemui juga ada alat memancing, beg, parang dan pakaian dipercayai milik mangsa. Kita serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.