Rundingan Malaysia-Singapura tentukan tindakan selanjutnya

Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah (dua, kanan) dan isteri Datin Norlin Shamsul Bahri (kanan) hadir ke perlawanan Liga Bola Keranjang ASEAN Westports Malaysia menentang San Miguel Alab Pilipinas di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah (dua, kanan) dan isteri Datin Norlin Shamsul Bahri (kanan) hadir ke perlawanan Liga Bola Keranjang ASEAN Westports Malaysia menentang San Miguel Alab Pilipinas di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan selanjutnya selepas penggantungan sebulan pelaksanaan Kawasan Larangan (RA) oleh Malaysia dan pelaksanaan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) oleh Singapura untuk Lapangan Terbang Seletar, bergantung kepada siri rundingan oleh kedua-dua negara.

Menteri Luar. Datuk Saifuddin Abdullah berkata apa yang penting adalah kedua-dua belah pihak berjaya mencapai kata sepakat dan membuktikan isu-isu melibatkan Malaysia dan Singapura masih boleh dirundingkan.

“Itu adalah yang lebih utama untuk saya," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan bola keranjang Asean antara Westports Malaysia Dragons dan San Miguel Alab Pilipinas di sini malam ini.

Menurutnya, langkah kedua-dua negara menamakan siapa yang mengetuai rundingan serta tempoh masa tertentu yang ditetapkan menunjukkan ada kesepakatan antara kedua-dua negara.

Tempoh penggantungan serta-merta itu selama sebulan itu dinyatakan dalam kenyataan bersama selepas mesyuarat dua hala antara Saifuddin dan rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di republik itu semalam.

Kedua-dua pihak turut bersetuju pada masa ini supaya Menteri Pengangkutan kedua-dua negara perlu bertemu segera untuk perbincangan mengenai RA dan tatacara ILS untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan penerbangan awam.

Berkaitan isu maritim membabitkan had pelabuhan Johor Bahru dan Singapura, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan kumpulan kerja diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Kumpulan kerja itu dikehendaki melaporkan kepada kedua-dua Menteri Luar itu dalam tempoh dua bulan. - Bernama

Artikel Berkaitan: