Kerajaan tak kompromi isu kanak-kanak, wanita, OKU

Wan Azizah Wan Ismail
Wan Azizah Wan Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata isu sosial membabitkan kanak-kanak, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan wanita adalah keutamaan kerajaan dan tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan penglibatan anggota Parlimen, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan untuk bekerjasama dalam menyumbangkan cadangan penyelesaian kepada masalah sosial negara.

"Isu-isu sosial yang melibatkan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan wanita adalah keutamaan saya. Saya tidak akan berkompromi dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara buat kali pertama di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial menjadi fokus utama mesyuarat majlis itu hari ini.

Dr Wan Azizah berkata pelaksanaan program itu penting dalam menangani isu perkahwinan bawah umur dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Katanya, pencegahan bermula dengan kesedaran serta pendidikan, dan sekolah merupakan medium terbaik untuk tujuan ini

Beliau berkata kertas-kertas yang telah dibincangkan dan dipersetujui merangkumi pelaksanaan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Pekerti) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta pelaksanaan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Peers) di sekolah.

Katanya, mesyuarat turut membincangkan mengenai Manual Persediaan Kecemasan Bencana Untuk Orang Kurang Upaya (OKU) yang bertindak sebagai panduan pengurusan golongan itu sebelum, semasa dan selepas bencana.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya mesyuarat juga membincangkan cadangan kewujudan Majlis Tindakan Wanita Negara untuk memperkasa dan memastikan semua perancangan program pembangunan wanita dilaksanakan lebih berkesan.

Dr Wan Azizah berkata mesyuarat akan datang bakal membincangkan beberapa perkara termasuk gangsterisme, gejala buli dan masalah penyalahgunaan dadah dan usaha menangani masalah sosial di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Katanya selain itu, isu remaja hamil luar nikah dan isu kanak-kanak tercicir daripada akses pendidikan dan transformasi bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) turut akan dibincangkan pada mesyuarat akan datang. - Bernama