Pemandu kereta mangsa kelima meninggal dunia

Mohamad Taslim disahkan meninggal dunia jam 12.25 tengah hari tadi.
Mohamad Taslim disahkan meninggal dunia jam 12.25 tengah hari tadi.
A
A
A

SABAK BERNAM - Pemandu Proton Satria, Mohamad Taslim Jamsari Mohamad, 31, yang cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 448 Lebuhraya Utara Selatan dekat Sungai Buloh semalam dilaporkan meninggal dunia tengah hari tadi.

Pemergian Mohamad Taslim menjadikannya mangsa kelima meninggal dunia selepas empat ahli keluarga lain yang juga penumpang kereta Proton Satria tersebut meninggal dunia, semalam.

Bapa saudaranya, Akhbar Osman, 50, berkata, anak saudaranya itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh kira-kira jam 12.25 tengah hari.

"ALLAH lebih menyayanginya dan kita jangka jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 23 Sungai Nibong petang ini," katanya.

Dalam kejadian awal pagi itu, tiga wanita dan seorang bayi perempuan maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar memberitahu, kemalangan membabitkan kereta Proton Satria dan Mitsubishi ASX dalam perjalanan ke arah selatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat termasuk bayi maut nahas dua kenderaan

Kejadian berlaku apabila Proton Satria dipandu Mohamad Taslim dikatakan terbabas sebelum dirempuh Mitsubishi ASX dipandu lelaki berusia 37 tahun dari arah belakang,

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang maut dikenali sebagai Asiah Mat, 74; anaknya, Ruzi Osman, 54; menantu Ruzi iaitu Ain Fazira Mohd Yazid, 25, dan anak Ain Fazira, Nur Tiara Arisha Mohamad Taslim berusia 9 bulan.

Terdahulu, jenazah isteri Mohamad Taslim, Ain Fazira dan anak mereka, Nur Tiara Arisha dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Parit 9, Pasir Panjang pada jam 6. 30 petang semalam.

Sementara jenazah Asiah dan Ruzi pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 23 Sungai Nibong, selepas solat Isyak.

Kemalangan membabitkan Proton Satria dan Mitsubishi ASX di KM 448.0 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan awal pagi semalam.
Kemalangan membabitkan Proton Satria dan Mitsubishi ASX di KM 448.0 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan awal pagi semalam.