Lelaki warga asing ditahan cubaan rogol

A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki warga asing menyamar sebagai pemandu Grab dan cuba merogol seorang wanita, dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan berhubung kejadian.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan sekitar jam 11 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya menerima laporan cubaan rogol daripada mangsa seorang wanita berusia 23 tahun kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, mangsa menempah Grab dari pusat bandar raya Johor Bahru untuk menuju ke Larkin, namun didapati telah tersalah naik kenderaan yang sepatutnya.

“Suspek telah membawanya berlegar di kawasan yang sama dan perbuatan suspek ditegur oleh mangsa kerana mengikut jalan yang salah. Setibanya di tempat sunyi iaitu Jalan Susur 2 Tun Abdul Razak, suspek telah memberhentikan kenderaannya dan bertindak masuk ke tempat duduk mangsa di bahagian penumpang belakang dan telah cuba merogol mangsa.

“Mangsa kemudiannya ditinggalkan oleh suspek dan telah menahan sebuah kenderaan lain melalui aplikasi Grab seterusnya datang ke Balai Polis Larkin membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, mangsa mendakwa tidak dapat memastikan nombor pendaftaran kenderaan terbabit memandangkan suspek telah menghubunginya dan mengatakan telah tiba di lokasi.

Bagaimanapun, katanya, suspek berjaya dikenalpasti hasil rakaman CCTV di tempat kejadian dan kemudiannya ditahan polis.

“Siasatan awal, suspek mengaku terlibat dalam kejadian ini dan juga mengaku bukan seorang pemandu Grab, tetapi telah mengambil kesempatan menyamar sebagai pemandu Grab di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, polis menasihatkan pengguna perkhidmatan Grab terutama kaum wanita agar lebih berhati-hati sebelum masuk ke dalam kenderaan yang ditempah.

Katanya, selain itu dicadangkan agar membawa semburan pemedih mata atau membawa teman bersama untuk keselamatan diri.

“Kes disiasat di bawah Sekyen 376/511 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

“Suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 14 Januari,” katanya.