Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pesat pada 2020: Guan Eng

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih pesat pada 2020 berdasarkan kepada Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Disember 2019 yang meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Di samping itu katanya, kerajaan juga akan memperbanyakkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan belia, graduan baharu dan wanita melalui program #MalaysiaKerja bernilai RM6.5 bilion dan pelaksanaan projek infrastruktur bernilai RM120 bilion.

Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, projek infrastruktur besar lain yang akan menyokong ekonomi Malaysia termasuklah pembangunan Bandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar RM140 bilion dan inisiatif e-Tunai Rakyat bernilai RM450 juta yang menyediakan wang belanja percuma sebanyak RM30.

PMI sektor pembuatan Malaysia yang meningkat 0.5 kepada 50.0 mata pada Disember 2019, merupakan paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan yang dicatatkan selepas peningkatan PMI pembuatan pada November sebanyak 0.2 kepada 49.5 mata daripada 49.3 mata pada Oktober 2019.

Menurutnya, peningkatan bacaan PMI itu menunjukkan bahawa ekonomi negara akan berkembang dengan lebih pantas dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"PMI bukan satu-satunya petunjuk yang menunjukkan ke arah pengembangan masa depan yang lebih mampan. Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini menerbitkan petunjuk pelopor ekonomi bagi bulan Oktober 2019 yang naik 1.4 peratus kepada 120.3 mata berbanding 118.6 mata pada bulan sebelumnya.

"Ini merupakan peningkatan ketara daripada perubahan -0.4 peratus dan 0.3 peratus masing-masing pada Ogos dan September,” katanya.

Guan Eng berkata, Trend Indeks Keyakinan Perniagaan oleh agensi penarafan tempatan, RAM juga menyokong unjuran positif yang ditunjukkan oleh data PMI dan Jabatan Perangkaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, RAM menyatakan sentimen dalam kalangan syarikat Malaysia sedang beransur pulih apabila keyakinan korporat naik 3.2 mata kepada 56.4 untuk tempoh suku pertama ke suku kedua 2020 berbanding tempoh suku keempat 2019 ke suku pertama 2020.

Pada masa yang sama, keyakinan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana meningkat 1 mata kepada 54.2, iaitu paras tertinggi sejak indeks tersebut mula diterbitkan pada 2017.

"Semua data ini selari dengan unjuran kerajaan bagi pertumbuhan ekonomi negara pada 2020. Kerajaan mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang secara mampan pada kadar 4.7 peratus pada 2019, sebelum memecut kepada 4.8 peratus tahun ini.

"Bagi tempoh tiga suku pertama 2019, KDNK Malaysia berkembang 4.6 peratus tahun ke tahun,” katanya. - Bernama