Karim Bujang fokus ubah ekonomi, taraf hidup rakyat di Kimanis

Calon Parti Warisan bagi PRK Parlimen Kimanis Datuk Karim Bujang ketika berucap pada Bengkel Kemahiran Menjahit Tote Bag Daripada Jeans Terpakai di Kampung Sri Serbang Bongawan hari ini. - Foto Bernama
Calon Parti Warisan bagi PRK Parlimen Kimanis Datuk Karim Bujang ketika berucap pada Bengkel Kemahiran Menjahit Tote Bag Daripada Jeans Terpakai di Kampung Sri Serbang Bongawan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Datuk Karim Bujang berikrar untuk memberi fokus mengubah landskap ekonomi setempat dengan memperbanyakkan peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi.

Bagaimanapun katanya, formula itu masih belum cukup kerana pekan Kimanis harus dinaik taraf setanding dengan pembangunan rancak yang berlaku di daerah lain.

“Kimanis perlu ada pelan pembangunan ekonomi sendiri untuk kelangsungan masa hadapan pembangunan untuk rakyat setempat.

“Sekiranya Kimanis ada pelan sedemikian, sudah semestinya kita akan dapat menyelesaikan isu ekonomi dan pengangguran, sekiranya ekonomi setempat dibangunkan, isu penyakit sosial akan dapat ditangani kerana kita dapat selesaikan masalah pengangguran,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Karim berada di pulau bebas cukai ini bagi siri jelajah kempen menyantuni lebih 1,000 pengundi berdaftar Kimanis yang tinggal dan bekerja di Labuan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Beliau berkata, dalam usaha menarik pelaburan, pembukaan lot kedai atau pusat beli-belah boleh difikirkan bagi kemudahan penduduk selain sebagai satu lagi cara mengubah landskap dan iklim ekonomi Kimanis dengan kewujudan peluang pekerjaan dan kemudahan berniaga.

“Sekiranya kita dapat menarik pelabur bina pusat beli-belah yang besar di Kimanis, mungkin ia akan membantu penduduk yang tidak perlu lagi ke bandar raya Kota Kinabalu yang sesak dan jauh untuk membeli-belah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Karim berkata, beliau akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan berfungsi sebagai penyelaras aktiviti ekonomi setempat dan satu unit khas untuk membantu mendapatkan peluang pekerjaan kepada graduan dan lepasan sekolah di kawasan Parlimen itu.

Dalam pada itu, pada majlis ramah mesra yang dianjurkan Ketua Jentera PRK Kimanis di Labuan Datuk Rozman Isli dekat sini semalam, Karim sempat menitipkan pesanan agar pengundi yang berada di Labuan beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka 18 Januari ini.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara. - Bernama