Buku Harapan tak halang PM jadi Menteri Pendidikan

Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Mohamed Haniff Khatri Abdulla
A
A
A

SHAH ALAM – Buku Harapan yang merupakan manifesto Pakatan Harapan (PH) tidak menghalang Perdana Menteri daripada memegang jawatan portfolio lain.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dalam satu kenyataan berkata, di bawah Janji 12 dalam buku berkenaan menunjukkan perdana menteri adalah ‘diharamkan’ daripada memegang jawatan menteri kewangan sahaja, bukan portfolio lain walaupun ia tidak digalakkan.

“Rujukan kepada Buku Harapan di bawah Janji 12 mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri dan menstruktur semula Jabatan Perdana Menteri.

“Perdana menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya jawatan menteri kewangan,” katanya hari ini.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dihalang daripada memegang jawatan Menteri Pendidikan, apatah lagi dalam kapasiti sebagai pemangku menteri.

Semalam, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Husin Ali mendakwa, Dr Mahathir sekali lagi membuat keputusan memalukan apabila secara terang-terangan melanggar janji manifesto PH dengan membuat keputusan memangku jawatan Menteri Pendidikan.

ARTIKEL BERKAITAN: PM pangku jawatan Menteri Pendidikan

Katanya sehingga kini, masih tidak ada kenyataan jelas dari Pejabat Perdana Menteri berhubung tempoh Mahathir akan memangku jawatan itu selepas penyandangnya, Dr Maszlee Malik meletak jawatan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai perkara itu, Mohamaed Haniff berkata, Syed Husin perlu membaca, memahami dan menghayati terlebih dahulu kandungan sebenar Buku Harapan sebelum membuat kenyataan tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat.

“Kenyataan Syed Husin seolah-olah kerajaan Malaysia melalui keputusan jemaah menteri dengan sengaja menyalahi manifesto pra PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) PH.

“Kenyataan tidak tepat dan khilaf yang menjurus kepada tohmahan salah ini datangnya daripada seorang pemimpin parti gabungan dalam PH sendiri,” katanya.