Budak ditemui orang awam tular, sudah dituntut keluarga

Kanak-kanak yang ditemui orang awam di Taman Megah 2A, Kajang semalam sudah dituntut oleh ibu bapanya malam tadi.
Kanak-kanak yang ditemui orang awam di Taman Megah 2A, Kajang semalam sudah dituntut oleh ibu bapanya malam tadi.
A
A
A

KAJANG - Seorang kanak-kanak yang dijumpai orang awam di Jalan Taman Megah 2A, Taman Megah di sini, semalam sebelum diserahkan di balai polis sudah diserahkan semula kepada keluarganya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya dihubungi ibu kepada kanak-kanak tersebut selepas berita kejadian itu tular di media sosial.

"Ibu kanak-kanak berusia 35 tahun tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 9 malam tadi untuk menuntut anaknya dengan membawa semua dokumen rasmi sebagai bukti sokongan.

"Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu dipercayai keluar sendirian untuk bermain di luar rumah melalui pintu hadapan rumah yang bertutup tetapi tidak berkunci," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut diserahkan semula kepada kedua ibu bapa kandungnya dan dibawa pulang dengan selamat.

"Kita berterima kasih kepada pihak media dan orang ramai kerana membantu menyebarkan berita berkaitan kehilangan kanak-kanak perempuan tersebut hingga berjaya menyerahkannya semula kepada kedua ibu bapanya dalam keadaan baik," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, kanak-kanak berusia lingkungan 2 tahun itu ditemui dalam keadaan sihat sebelum satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki.

Artikel Berkaitan: