Juara di laman sendiri lebih manis

Liu Ying (kiri) dan Peng Soon ketika perlawanan menentang beregu dari Jepun pada perlawanan suku akhir Kejohanan Perodua Badminton Masters Malaysia 2020 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. -Foto Bernama
Liu Ying (kiri) dan Peng Soon ketika perlawanan menentang beregu dari Jepun pada perlawanan suku akhir Kejohanan Perodua Badminton Masters Malaysia 2020 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

BEREGU campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mahu kembali mengecapi kemenangan di laman sendiri selepas kali terakhir melakukannya lapan tahun lalu pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia.

Pada edisi kali ini di Arena Axiata, Bukit Jalil, gandingan negara layak ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara, 21-15, 21-18 di peringkat suku akhir.

Dilabelkan sebagai beregu campuran terbaik negara, Peng Soon berkata, mereka mungkin memiliki kelebihan dari segi pengalaman di samping undian yang berpihak kepada mereka.

"Kali terakhir kami menang pada edisi 2012 tapi ketika itu ia masih bertaraf 300, sekarang sudah meningkat kepada 500 dan tahap kejohanan sudah naik. Saya harap dapat menang sekali lagi kerana juara di tempat sendiri lebih istimewa," katanya.

Bagi Peng Soon, yang sebelum ini mengalami masalah kesihatan, berkata beliau sangat puas hati dengan prestasi mereka dan berharap dapat terus konsisten sehingga berjaya 'mengunci' slot layak ke Sukan Olimpik Tokyo yang akan berakhir April ini.

"Kalau boleh bermula Januari lagi (kedudukan terjamin ke Olimpik). Jadi kami harus mara ke separuh akhir Masters Malaysia dan Indonesia (minggu depan) dan juga All England nanti," katanya.

Dalam pada itu, Liu Ying sedikit 'terganggu' ketika aksi set kedua, berjaya mengawal situasi dan mengembalikan pasangan pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu ke dalam perlawanan, sekali gus tidak mengheret perlawanan ke set penentuan.

Mengenai lawan mereka esok, Liu Ying berkata, sesiapa pun yang bakal dihadapi, sudah pastinya akan menjadi perlawanan sengit dan berjanji akan melakukan yang terbaik.

Artikel Berkaitan:

Pasangan negara akan berdepan pilihan kedua, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China.

Terdahulu, gandingan kedua terbaik dunia itu terpaksa bermandi peluh sebelum menyingkirkan pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 19-21, 21-8, 21-15.

Sementara itu, nasib berbeza buat pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila gagal mara ke separuh akhir selepas tewas kepada pilihan utama kejohanan dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 11-21, 9-21. - Bernama