Puteh juara Maharaja Lawak Mega 2019

Puteh menang di hati juri dan penonton - FOTO: SHARUFUDIN ABDUL RAHIM
Puteh menang di hati juri dan penonton - FOTO: SHARUFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUMPULAN Puteh diumumkan sebagai juara program Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM2019) yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam sebentar tadi.

Puteh tampil menerusi persembahan menarik dan mendapat pujian barisan juri menerusi dua tugasan yang bertemakan bebas dan muzikal.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan kumpulan yang dianggotai oleh Ali, Mamak dan Man membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM500,000 berserta trofi.

Puteh juga diumumkan sebagai pemenang anugerah Oppo Punchline Machine daripada undian penonton dan Flamintoz Kumpulan Paling Syok menerusi pilihan juri.

Naib juara dimenangi oleh kumpulan Zero dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM250,000 berserta trofi dan tempat ketiga pula menjadi milik kumpulan Bocey dengan hadiah wang tunai RM150,000 berserta trofi.

Manakala kumpulan J-Born dan Rare masing-masing hanya berpuas hati di tempat keempat dan kelima dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi dan RM15,000 berserta trofi.

Persembahan kesemua peserta diadili oleh empat juri tetap yang terdiri daripada Datuk Jamal Abdillah, Lisa Surihani, Inul Daratista dan Najib Ali, yang mewakili 70% pemarkahan. Manakala 30% lagi markah merupakan undian daripada penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juga di platform digital, Gempak.

Selain persembahan finalis, penonton juga dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi Hazama dan Naqiu.

Artikel Berkaitan:

Program yang dihoskan oleh Datuk AC Mizal itu disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (124), setiap Jumaat, bermula ‪jam 9‬‬ malam.