Bertegas dengan pihak yang cetuskan ketegangan

Abdul Rahman Osman
Abdul Rahman Osman
A
A
A

SHAH ALAM - Konflik agama dan kaum yang tercetus ketika ini dapat ditangani sekiranya kerajaan bertegas terhadap pihak yang mempersoalkan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Islam.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, ini kerana keistimewaan itu jelas termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Kerajaan kena tegas dan oleh kerana tidak tegas inilah setiap orang bebas untuk mengatakan itu, ini hak mereka. Orang Cina kata hak mereka dan India pula dengan hak mereka.

“Sedangkan dalam Perlembagaan sudah termaktub (hak dan keistimewaan orang Melayu dan Islam). Contohnya isu jawi sudah jelas. Maknanya yang tidak boleh sentuh (tentang keistimewaan) adalah mereka (kaum bukan Melayu), bukan kita (orang Melayu).

“Kerajaan kena jelaskan benda ini (hak keistimewaan orang Melayu) tidak boleh diusik. Ini bukan perkauman tetapi kita ingin mempertahankan hak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang menggesa kerajaan, parti politik dan rakyat Malaysia tidak memainkan isu perkauman dan agama kerana tindakan itu boleh menyemai kebencian yang akan menghancurkan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Hubungan kaum, agama semakin parah di Malaysia

Hussamuddin yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf berkata, tindakan drastik perlu diambil dalam menyelesaikan isu-isu kaum dan agama yang dilihat memuncak sejak 20 bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk memberi penjelasan tentang hak dan keistimewaan orang Melayu kepada bangsa lain supaya ia lebih difahami.

Katanya, ketegangan kaum dan agama yang memuncak ketika ini perlu ditangani segera bagi mengelakkan wujud perkara yang tidak diingini.

“Selagi ini berlaku (melanggar Perlembagaan dan undang-undang negara) selagi itulah timbul perpecahan dan mungkin peristiwa 13 Mei akan berulang lebih dahsyat lagi,” katanya.

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Mohamad Shukri berkata, budaya membenci antara kaum dan agama perlu dihentikan segera bagi mengelakkan ia menjadi lebih parah sekali gus boleh menghancurkan negara.

Katanya, ketegasan pihak kerajaan untuk membendung konflik agama dan perkauman merupakan asas terpenting dalam menangani isu tersebut.

“Saya merasakan bahawa semua kaum di negara ini perlu sentiasa diingatkan tentang bahaya bermain api. Bermain api secara kecil-kecilan boleh memanaskan badan tetapi kalau besar bukan sahaja boleh menghanguskan tetapi menghancurkan seluruhnya.

“Jadi, umpama tulisan jawi, kenapa dikaitkan belajar tulisan itu akan masuk Islam. Kalau belajar Inggeris nanti akan masuk Kristian ke, kalau belajar tulisan Cina akan masuk Buddha ke?

“Selama ini negara kita sudah memberi peluang kepada rakyat untuk belajar pelbagai bahasa pelbagai tulisan. Jadi tidak ada isu berbangkit pun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, dalam hal yang hal dan keistimewaan orang Melayu dan Islam di negara ini seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang negara ia seharusnya dihormati semua pihak.

“Jadi kerana itu, kalau ingin lihat negara kita terus berada dalam keamanan, kesejahteraan dan dapat hidup secara harmoni, maka masing-masing tolonglah kawal emosi dan sentimen,” katanya.