X

Kindly register in order to view this article
!

Bluefin bongkar rahsia laut dalam

A
A

IKAN tuna sirip biru atau bluefin seberat 276 k)g yang ditangkap di Lautan Pasifik Utara oleh nelayan Jepun berjaya dijual pada harga 193.1 juta yen (RM7.4 juta) di pasar Tokyo baru-baru ini.

Sesungguhnya, penjualan itu menimbulkan pertanyaan berapa banyakkah rahsia kekayaan khazanah laut dalam?

Januari tahun lalu, seekor bluefin seberat 278kg yang ditangkap di Laut Jepun berhampiran Wilayah Utara Aomori, Jepun pula dijual pada harga tawaran tertinggi 333.6 juta yen (RM12.7 juta).

Kedua-dua transaksi penjualan tersebut melibatkan Kiyomura Corporation, pengendali rangkaian restoran sushi terbesar di Jepun.

Armada nelayan Jepun menggunakan kaedah penangkapan ikan berteknologi tinggi dilengkapi alat pengesan sonar dan jaring pukat dompet terbesar.

Mereka sentiasa menguasai Laut Jepun dan Lautan Pasifik Utara dan Selatan. Mereka sentiasa memburu ikan tuna bluefin yang digelar ‘Pacific Bluefin’.

Permintaan tinggi syarikat gergasi makanan laut seperti Nippon Suisan Kaisha dan Maruba Nichiro Corporation menyebabkan harga bluefin sentiasa melambung tinggi.

Industri perikanan laut dalam sebenarnya satu kegiatan penangkapan ikan menggunakan pelbagai teknologi termasuk pukat tunda dasar di pesisiran sejauh antara 200 dan 2,000 meter di luar pantai melebihi 30 batu nautika dengan kedalaman antara 400 dan 500 meter sebagaimana ditetapkan Majlis Antarabangsa Eksplorasi Laut dan Organisasi Makanan dan Pertanian.

Kegiatan ikan laut dalam di Malaysia dengan skala besar hasil ilham Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987 melibatkan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif merangkumi perairan laut seluas 548,800 kilometer persegi di sekeliling Semenanjung Malaysia dan 250,000 kilometer persegi di perairan Sabah dan Sarawak.

Namun sehingga kini, Jabatan Perikanan Malaysia bersama Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) menjelaskan belum ada ikan tuna atau pelagik dikesan di luar pantai Sabah atau Sarawak.

Industri penangkapan ikan laut dalam sebenarnya menyumbang 20 peratus atau melebihi 300,000 tan bernilai lebih RM1.7 bilion daripada jumlah keseluruhan permintaan ikan di pasaran atau RM8.5 bilion setahun. Perak, Selangor dan Johor adalah antara negeri pengeluar terbesar ikan laut dalam.

Kekayaan khazanah lautan diungkapkan dalam al-Quran menerusi surah an-Nahl ayat 14 yang bermaksud: “Dan Dia-lah, ALLAH yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan) dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai; dan kamu melihat bahtera berlayar padanya dan supaya kamu mencari (keuntungan) daripada kurnia-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

Hingga saat ini, laut dalam masih menjadi misteri bagi manusia. Penelitian di laut dalam sendiri hingga saat ini jarang diterokai.

Pada 2010, kelompok peneliti Indonesia dan Amerika bekerjasama untuk mengungkap misteri laut dalam di perairan Sangihe Talaud menerusi ekspedisi INDEX SATAL 2010.

Ekspedisi itu berjaya merungkai tentang lapisan kegelapan, kehidupan haiwan dan tumbuhan dalam kegelapan di bawah laut dan gunung api yang menyemburkan panasnya. Gunung api itu bakal menjadi sumber mineral dan tenaga pada depan.

Justeru, penulis menyarankan kerajaan segera menggunakan teknologi terkini seperti Lighting-up Dark Fishing Fleets bagi memantau aktiviti penangkapan ikan laut secara lebih efisien.

Malaysia juga harus mula menggunakan teknologi Satellites and ship-based automated identification Systems (AIS), teknologi Visible Infrared Imaging Radiometer Suite (VIIRS) dan diperkasakan oleh data raya kebangsaan bagi mengawasi, mengenal pasti dan mengesan kegiatan kapal nelayan asing di perairan Malaysia.

Khazanah laut dalam Malaysia mempunyai kekayaan tidak terhitung yang belum diterokai. Penulis berharap kerajaan bersedia melabur dalam pembangunan teknologi laut dalam untuk menerokai khazanah kekayaan laut.

*Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)